Ugut bakar rumah jika bapa tak beli burger, lelaki dipenjara 5 bulan

Ugut bakar rumah jika bapa tak beli burger, lelaki dipenjara 5 bulan

Tertuduh merayu dijatuhkan hukuman ringan atas alasan dia hanya berniaga kecil-kecilan dan berpendapatan RM1,000 sebulan.

Mahkamah memerintahkan Mohammad Adib Akmal Mohd Sauffi menjalani hukuman penjara lima bulan bermula tarikh dia ditangkap semalam. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Tindakan seorang lelaki mengugut bapanya dengan mahu membakar rumah mereka jika tidak dibelikan burger dan pulang segera membawa padah apabila Mahkamah Majistret Selayang hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadapnya.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Adib Akmal Mohd Sauffi, 29, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di kediamannya di Taman Bolton, Batu Caves, Selangor, pada 10 malam 27 Dis lepas.

Mahkamah memerintahkan Adib menjalani hukuman penjara itu bermula tarikh dia ditangkap semalam.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ketika bapa Adib keluar membeli makanan, beliau menerima panggilan telefon daripada anaknya itu yang meminta dibelikan burger dan pulang ke rumah dengan segera.

Sekiranya bapa tertuduh tidak mengikut arahan, tertuduh mengugut mahu membakar rumah mereka.

Ketika rayuan, Adib yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, M Mariappan memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan anak guamnya hanya berniaga kecil-kecilan dan berpendapatan RM1,000 sebulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

“Dalam kes ini, tertuduh mengugut bapa kandungnya sendiri, tertuduh sepatutnya menjaga dan menghormati bapanya bukan mengugut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.