MCCC, DPIM lancar kempen bantu mangsa banjir

MCCC, DPIM lancar kempen bantu mangsa banjir

Kempen itu merentas agama dan bangsa.

Presiden Dewan Perdagangan Malaysia China, Tan Yew Sing (duduk, tengah) bersama Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia, Mohamad Sahar Mat Din (duduk, dua dari kiri) dalam sidang media pelancaran kempen bantu mangsa banjir di Ibu Pejabat MCCC hari ini.
KUALA LUMPUR:
Dewan Perdagangan Malaysia China (MCCC) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) berganding bahu melancarkan kempen “Malaysia Bersatu Hati” bagi membantu mangsa banjir.

Presiden DPIM, Mohamad Sahar Mat Din berkata, kerjasama itu merentas agama dan bangsa.

“Kebanyakan mangsa adalah orang Melayu. Apabila mereka (MCCC) ke depan, kita organisasi Islam mestilah bersama,” katanya pada sidang media pelancaran kempen bantu mangsa banjir di ibu pejabat MCCC di sini.

Sementara itu, Presiden MCCC, Tan Yew Sing berkata, anggotanya bersama usahawan dan orang awam boleh menyumbang wang atau barangan kepada tabung itu.

Katanya, mereka menyasarkan RM200,000 dikutip untuk membeli barangan keperluan kepada mangsa banjir.

“Dana terkumpul adalah RM100,000 dalam beberapa hari sahaja,” katanya sambil menambah mereka yang berminat boleh menyumbang menerusi akaun Affin Bank MCCC (106580013314) atau akaun Bank Muamalat DPIM (14010006453710).

Katanya, sumbangan berbentuk barangan keperluan seperti mi segera, biskut, cadar, selimut, karpet, sarung tangan, kasut getah, bekalan pembersihan kepada 1DC Training House Sdn Bhd sebelum 5 Jan depan.

“Kita akan fokus di kawasan yang teruk dilanda banjir di Selangor dan Pahang,” katanya.

Dalam pada itu, Sahar berkata, DPIM memfokuskan untuk membantu peniaga kecil di Selangor yang terjejas dengan banjir.

“Kita sasar bantu penjaja RM800 seorang bagi membantu mereka membeli peralatan perniagaan. Dengan bantuan itu, mereka boleh memulakan perniagaan semula, ini seperti perniagaan mereka bernyawa semula.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.