Jeffrey ajak Peter, Juil sertai STAR

Jeffrey ajak Peter, Juil sertai STAR

Presiden STAR itu berhasrat menjalin kerjasama dengan kedua-dua pemimpin Kadazandusun dan Murut itu serTa bergabung di bawah satu 'sepanduk'.

Jeffrey Kitingan berkata, sekarang adalah masa untuk rakyat Sabah bersatu padu dan mengukuhkan pengaruh politik di peringkat nasional.
KOTA KINABALU:
Presiden STAR, Jeffrey Kitingan mengajak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Peter Anthony dan ADUN Limbahau, Juil Nuatim yang meninggalkan Warisan semalam supaya menyertai parti itu.

Katanya, beliau berhasrat menjalin kerjasama dengan kedua-dua pemimpin Kadazandusun dan Murut (KDM) itu serta bergabung di bawah satu “panji-panji”.

Beliau berkata, jemputan kepada Peter dan Juil untuk menyertai STAR juga adalah salah satu usaha parti itu untuk menyatukan masyarakat KDM di Sabah.

“Masyarakat KDM yang bersatu padu baik untuk Sabah. Saya juga mahu mengajak ADUN Inanam, Peto Galim (PKR) dan bekas ahli Parti Cinta Sabah (PCS) untuk menyertai kami supaya kita dapat bekerja bersama untuk membentuk masa depan negeri ini,” katanya dalam kenyataan.

Jeffrey yang juga ADUN Tambunan berkata, pilihan raya negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini menunjukkan rakyat di negeri Borneo mula menolak parti yang berasal dari Semenanjung dengan memberikan undi memberangsangkan kepada parti tempatan.

“Sekarang adalah masa untuk rakyat Sabah bersatu padu dan mengukuhkan pengaruh politik di peringkat nasional,” katanya.

Semalam, Peter yang juga bekas Naib Presiden Warisan mengumumkan keluar parti bagi menubuhkan parti baharu yang mesra kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Juil turut mengumumkan beliau meninggalkan Warisan, tetapi belum membuat keputusan sama ada akan menyertai parti baharu yang ditubuhkan Peter nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.