Jangan marah kalau rakyat ikut jejak langgar SOP, Peja diberitahu

Jangan marah kalau rakyat ikut jejak langgar SOP, Peja diberitahu

Muhamad Arafat Varisai Mahamad turut meminta Ahmad Faizal Azumu kemuka bukti beliau tidak melanggar tempoh kuarantin wajib KKM.

Tindakan Ahmad Faizal Azumu melanggar tempoh kuarantin ketika kes varian Omicron sedang meningkat di dalam dan luar negara sangat tidak bertanggungjawab, kata Muhamad Arafat Varisai Mahamad.
PETALING JAYA:
Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu diminta mengemukakan bukti jika benar beliau tidak melanggar tempoh kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara Khamis lepas, kata Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta itu berkata, mustahil Kementerian Kesihatan (KKM) memendekkan tempoh kuarantin seseorang melainkan terdapat permintaan daripada individu itu sendiri.

“Kita tak percaya, kalau benar tak langgar kuarantin, beliau kena tunjuk bukti daripada KKM, pengesahan atau surat yang sah… semua boleh cakap saja. Rakyat ada hak untuk tahu sebab mereka keliru kenapa SOP ‘kluster kayangan’ boleh diubah mengikut kehendak dan keperluan masing-masing.

“Sepatutnya setiap individu yang pulang dari luar negara perlu kuarantin wajib tujuh hari tetapi baru lima hari kita dah nampak Faizal berjumpa orang ramai. Esok kalau rakyat biasa ikut jejaknya, janganlah marah dan ambil tindakan pula,” katanya kepada FMT.

Setelah dikritik pelbagai pihak atas kehadirannya membantu mangsa banjir di Banting, Selangor semalam, Faizal menjelaskan kepada FMT bahawa beliau tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib selepas pulang dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, beliau mematuhi arahan KKM berhubung tempoh kuarantin wajib.

Dalam pada itu, Arafat yang juga Ketua Penerangan PKR Perak berkata, tindakan Faizal melanggar tempoh kuarantin ketika kes varian Omicron sedang meningkat di dalam dan luar negara sangat tidak bertanggungjawab dan tidak memberatkan perihal kesihatan rakyat.

Beliau turut menegur Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang tidak peka mengenai “kluster menteri” yang keluar masuk melalui sempadan negara tanpa mematuhi tempoh kuarantin wajib.

“Sebagai Menteri Kesihatan, jangan ikut rentak dan kemahuan masing-masing … SOP kena sama. Kalau boleh ditukar dan diubah, itu bukan SOP,” katanya.

Arafat antara pemimpin PKR yang lantang mengkritik kepimpinan Faizal dan terbaru, beliau menawarkan ganjaran sebanyak RM1,000 untuk mengesan Faizal, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin yang didakwanya “hilang” ketika rakyat berdepan banjir.

Bagaimanapun, Faizal menjelaskan, beliau berangkat ke Dubai Rabu lepas, tetapi hanya berada di bandar raya itu selama 12 jam untuk mengunjungi dua anaknya yang belajar di luar negara selepas hampir dua tahun tidak bertemu kerana wabak Covid-19.

Beliau kembali ke Malaysia sebelum Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua anggota Jemaah Menteri membatalkan cuti sehingga banjir selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.