Budak ‘sidai’ luar kereta, pemandu Alza ditahan

Budak ‘sidai’ luar kereta, pemandu Alza ditahan

Video yang tular menunjukkan tiga kanak-kanak terbabit menjulur separuh badan mereka di bahagian penumpang hadapan dan belakang kenderaan yang sedang bergerak di jalan raya.

Video kejadian itu tular di media sosial.
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan susulan video yang tular di media sosial memaparkan tiga penumpang kanak-kanak menjulurkan badan luar tingkap sebuah kereta Perodua Alza di jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kajang Mohd Zaid Hassan berkata pemandu wanita berusia 34 tahun itu membawa tiga kanak-kanak terbabit dengan mengeluarkan separuh badan mereka di bahagian penumpang hadapan dan belakang dalam keadaan kenderaan itu sedang bergerak.

Beliau berkata tingkah laku mereka itu amat berbahaya dan boleh mendatangkan kemalangan serta membahayakan nyawa atau keselamatan diri dan orang lain.

Laporan Bernama memetik Mohd Zaid berkata, wanita itu disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain. Jika disabitkan dia boleh dihukum penjara selama tempoh tiga bulan atau denda hingga RM500 atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai diminta supaya sentiasa memastikan keselamatan kanak-kanak dikawal serta dipantau oleh orang dewasa.

“Sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933 atau balai polis berdekatan,” katanya.

Semalam, video tular menerusi media sosial memaparkan sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu secara berbahaya dengan membiarkan tiga kanak-kanak menjulurkan badan dari tingkap ketika kenderaan sedang bergerak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.