
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican berkata jumlah itu merangkumi 2,817 pegawai bomba, 628 pegawai bomba bantuan dan 2,080 pasukan bomba sukarela.
“Saya telah mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk melakukan persiapan awal anggota, aset dan jentera” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Beliau berkata seramai 1,889 anggota membabitkan 33 balai bomba di Sungai Mersing, Johor diikuti 1,660 anggota dari 26 balai di Sungai Pahang, Sungai Kuantan serta Sungai Rompin, Pahang diarah agar bersedia menghadapi bencana banjir.
Turut terlibat 964 anggota membabitkan 17 balai bomba di Sungai Besut, Sungai Dungun dan Sungai Terengganu, Terengganu serta 1,012 anggota dari 21 balai di Sungai Kelantan dan Sungai Golok, Kelantan.
“Insya-Allah, saya dan pasukan akan sentiasa kemas kini serta memantau keadaan dari semasa ke semasa dan bersedia menggerakkan lebih banyak aset dalam apa jua kemungkinan,” katanya sambil menambah persiapan logistik turut dilakukan yang membabitkan 16 kenderaan marin, 45 kenderaan angkut dan 121 kenderaan utiliti.
Terdahulu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara mengeluarkan ramalan awal banjir di Kelantan dan Terengganu bermula 31 Dis ini manakala di Pahang dan Johor mulai 1 Jan 2022.
Sementara itu, di Sabah, Ketua Menteri Hajiji Noor berkata semua jawatankuasa pengurusan bencana telah diarah untuk diaktifkan sebagai persediaan menghadapi bencana buruk di bahagian pantai timur dan utara Sabah seperti diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Katanya, beliau telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan dan pegawai daerah untuk segera mengaktifkan jawatankuasa pengurusan bencana mereka dan sentiasa bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan terutamanya angin kencang, banjir dan tanah runtuh.
“Saya mahu pihak berkuasa tempatan terus membersihkan semua laluan air dan longkang bagi memastikan ia tidak tersumbat sekiranya hujan berterusan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
MetMalaysia meramalkan berlaku luruan monsun sehingga 2 Jan yang boleh menyebabkan hujan berterusan di daerah Sabah iaitu di Tawau, Lahad Datu, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran) dan Kudat.