
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, titah nasihat Agong itu susulan amaran tahap waspada (kuning), iaitu hujan berterusan di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah sepanjang minggu ini hingga 2 Jan depan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi kelmarin.
“Seri Paduka turut menasihati rakyat, khususnya di kawasan berisiko dilanda banjir juga peka terhadap ramalan dan amaran yang dikeluarkan serta sentiasa berwaspada, sekiranya paras air naik secara mendadak akibat hujan lebat berterusan.
“Ini termasuklah mematuhi semua arahan dan panduan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya dikehendaki berpindah dari kediaman masing-masing demi keselamatan diri dan ahli keluarga tersayang,” katanya dalam kenyataan.
Menzahirkan keprihatinan tinggi Seri Paduka terhadap kemaslahatan rakyat, Fadil berkata, Sultan Abdullah menyeru semua pihak agar mengambil iktibar daripada pengalaman banjir sebelum ini untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan dalam menghadapi sebarang kemungkinan, khususnya urusan pasca banjir.
Katanya, Seri Paduka turut menasihatkan agensi kerajaan berkaitan dan PBT tidak leka serta proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan, koordinasi dan penyelarasan pengurusan bagi menghadapi gelombang kedua banjir di tahap terbaik.
Beliau berkata, Seri Paduka menzahirkan harapan dan keyakinan menerusi persediaan awal disusuli tindakan terancang, operasi menyelamat dan bantuan kepada mangsa banjir terperangkap, khususnya di kawasan berkepadatan tinggi dan pedalaman dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.
“Seri Paduka turut mengajak semua rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar gelombang kedua banjir yang akan berlaku ini tidak berpanjangan dan negara serta rakyat dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana.”