
Mereka ini menjadi sasaran Dr Thangaraj Munusamy – seorang pakar bedah otak dan saraf yang pantas membuka klinik sementara untuk memberikan rawatan dan ubat secara percuma kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25.
Thangaraj, lulusan dari England, menyifatkan dirinya sebagai anak jati Sri Muda, dan terpanggil untuk membantu sedaya boleh ribuan mangsa yang terkandas. Setakat ini, sembilan maut dalam banjir di Sri Muda sahaja.

“Saya ambil cuti tanpa gaji, untuk menyumbang balik kepada masyarakat,” katanya kepada FMT.
Thangaraj yang bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) turut meminta bantuan 14 lagi rakan doktor untuk turun padang membantu mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SJK Tamil Ladang Emerald.
“Bila turun ke sini (PPS), saya tengok keadaan tak berapa baik. Apa yang saya buat? Saya dapatkan bantuan daripada doktor lain secara sukarela.
“Doktor sukarelawan sebanyak 10-15 orang. Kita dapat bantuan daripada mereka. Jururawat, pelajar perubatan pun ada tolong kami. Kita bagi rawatan yang terbaik dan menyeluruh,” jelasnya.
Thangaraj akur ramai mangsa banjir di Sri Muda kehilangan ubat-ubatan dan peralatan seperti alat tekanan darah, selepas air naik begitu cepat sehingga menenggelamkan rumah mereka.
“Kebanyakan masyarakat di sini mereka hilang segala-galanya. Ubat-ubatan, alat untuk (periksa) tekanan darah dan paras gula dalam darah. Itu semua mereka sudah hilang. Jadi kita kena beri mereka rawatan yang menyeluruh,” katanya.
Beliau membuka klinik percumanya pada Ahad lalu di PPS SJK Tamil Ladang Emerald dan terus memberikan khidmat sehingga PPS itu tutup dua hari lalu.
Menurutnya, mangsa banjir PPS itu bernasib baik kerana banyak pihak, khususnya pihak swasta dan sukarelawan sudi membantu membekalkan ubat-ubatan sehingga beliau dan rakan-rakannya mampu menyediakan ‘farmasi mini’ di PPS itu.
“Kebanyakan ubat-ubatan disumbang oleh masyarakat, juga sumbangan pihak farmasi, juga hospital-hospital berdekatan,” jelasnya.
Usaha dan inisiatif Thagaraj serta rakan doktornya antara kisah sukarelawan tidak didendangkan, di kala warganet mempersoalkan di mana bantuan agensi awam ketika rakyat ditimpa musibah.

Ditanya apa yang mendorongnya untuk berkhidmat kepada mangsa banjir secara percuma, dan sanggup mengambil cuti tanpa gaji, ini jawapan Thagaraj.
“Saya pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Terima kasih kepada JPA, sebagai penerima biasiswa JPA, saya pergi ke luar negara dan kembali sebagai pakar. Sekarang saya berpeluang bantu masyarakat.
“Saya nak beri balik kepada masyarakat dalam bentuk perkhidmatan. Ini peluang untuk saya tabur bakti balik,” katanya.
FMT sebelum ini melaporkan Pengerusi PIBG SJK Tamil Ladang Emerald, Thayalan Krisnasamy, mendedahkan PPS di sekolah itu beroperasi tanpa sebarang dana daripada pihak berkuasa.