
Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim berkata, keputusan itu dibuat bagi meringankan beban lebih 4,500 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar bawah skim tersebut memandangkan negara masih berdepan ancaman Covid-19 dan cabaran ekonomi.
“Walaupun harga dikenakan untuk pembaharuan lesen ini tidak tinggi tetapi sedikit sebanyak inisiatif Wilayah Bebas Berniaga diharap dapat membantu meringankan beban peniaga,” katanya kepada Bernama semasa menghadiri mesyuarat agung pemilihan kali ke-14 Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, semalam.
Beliau turut mengingatkan peniaga agar mengikut peraturan dan garis panduan ditetapkan serta tidak berniaga di lokasi yang boleh mengganggu laluan dan ketenteraman awam.
Skim Wilayah Bebas Berniaga diperkenal pada 15 Nov tahun lepas bagi membolehkan orang ramai di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai secara percuma.