Permudah, segerakan bantuan wang ihsan banjir, kata PM

Permudah, segerakan bantuan wang ihsan banjir, kata PM

Ismail Sabri Yaakob berkata, sejumlah RM34 juta bagi bantuan wang ihsan sudah disalur untuk diagihkan kepada 34,000 ketua isi rumah di negeri terjejas banjir sehingga semalam.

Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat tiga kaedah penyaluran BWI, iaitu serahan tunai di Pusat Kawalan Operasi Bencana, serahan tunai rumah ke rumah dan pemindahan tunai secara dalam talian. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM34 juta bagi bantuan wang ihsan (BWI) untuk diagihkan kepada 34,000 ketua isi rumah di negeri terjejas banjir sehingga semalam.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, dana yang diperuntukkan kerajaan persekutuan untuk disalurkan kepada mangsa banjir perlu dipermudahkan dan disegerakan.

“Agihan BWI ini sudah mula diterima mangsa banjir semalam,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Bencana Banjir yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali semalam memutuskan bantuan berkenaan akan dilaksanakan menerusi serahan tunai.

“(Ini) bagi memastikan mangsa banjir segera menerima BWI,” katanya.

Ismail berkata, terdapat tiga kaedah penyaluran BWI, iaitu serahan tunai di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), serahan tunai rumah ke rumah dan pemindahan tunai secara atas talian (EFT).

Katanya, tiga kaedah berkenaan akan mempermudahkan urusan penyaluran BWI dengan lebih efektif dan pantas.

Beliau berkata, bantuan berkenaan sudah mula diagihkan di peringkat PKOB dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

“Usaha untuk mengesan mangsa yang belum berdaftar sedang giat dijalankan oleh PKOB dan ICU (JPM),” katanya.

Sebelum ini, Ismail dilaporkan sebagai berkata bahawa kerajaan bersetuju memberi sumbangan RM1,000 kepada setiap isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.