
Ansell, antara pelanggan utama Brightway yang menjadi pembekal kepada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) United Kingdom memberitahu FMT, ia menggantung tempahan Amerika Utara yang dibuat dengan Brightway sehingga syarikat itu menyelesaikan isu berkenaan dengan pihak kastam AS.
Bagaimanapun, jurucakap Ansell berkata, syarikat itu tidak tahu akan bukti khusus yang ada pada pihak Kastam AS dan akan “memantau dengan rapat situasi ini”.
Ansell berkata, ia menyedari beberapa ketidakpatuhan di fasiliti Brightway melalui program audit pihak ketiganya dan terus bekerjasama rapat dengan Brightway dalam rancangan pemulihan.
Kimberly-Clark, syarikat AS yang memiliki Kleenex, Scott dan Huggies, memberitahu FMT, pihaknya telah mengambil tindakan untuk memastikan pematuhan perintah Kastam AS.
Seorang jurucakap syarikat berkata, Brightway telah “mencapai kemajuan dalam bidang-bidang utama” tetapi perintah baharu itu “menunjukkan lebih banyak perlu dilakukan”.
Pihak kastam minggu lalu mengarahkan pelabuhan pintu masuk AS untuk merampas sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan di Malaysia oleh tiga syarikat dalam Brightway Group – Brightway Holdings, Laglove dan Biopro.
Brightway Group menjadi tumpuan tahun lepas selepas Menteri Sumber Manusia M Saravanan menyifatkan keadaan buruk penginapan pekerja asing di dua anak syarikatnya yang diserbu sebagai “perhambaan zaman moden”.
FMT telah meminta Brightway mengulas mengenai larangan kastam AS itu.