
Presidennya, Adnan Mat berkata, tuduhan itu tidak berasas kerana semua pasukan keselamatan telah digerakkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Sebaliknya, beliau menggesa semua pihak mengambil kira faktor kepadatan penduduk, mangsa enggan ke pusat pemindahan sementara (PPS) ketika keadaan masih terkawal dan risiko keselamatan.
“Banjir luar biasa yang jarang-jarang berlaku di Lembah Klang ini dengan air yang naik terlalu cepat telah menyukarkan proses menyelamat. Apatah lagi kepadatan penduduk di Lembah Klang yang mencecah jutaan orang mengakibatkan keupayaan menyelamat juga terbatas.
“Kekurangan yang berlaku dalam operasi menyelamat tidak seharusnya diletakkan kepada anggota keselamatan sahaja,” katanya dalam kenyataan.
Adnan turut menggesa kerajaan memberi perhatian sewajarnya kepada pasukan keselamatan, khasnya dalam menambah aset baharu dan peralatan sesuai untuk misi menyelamat lebih berkesan tanpa mengundang risiko kepada anggota keselamatan.
Beliau berkata, jumlah anggota keselamatan tidak mencukupi turut menjejaskan misi menyelamat di kawasan padat penduduk.
“Bayangkan di sesebuah taman di bandar mempunyai lebih daripada 1,000 penduduk, berbeza di kawasan kampung yang hanya mempunyai ratusan penduduk.”
Lebih 300 rumah milik anggota keselamatan turut ditenggelami air, tetapi katanya, anggota keselamatan terpaksa meninggalkan keluarga sendiri demi menyelamatkan orang awam.
“CUEPACS berharap semua pihak terus memberi sokongan kepada pasukan keselamatan negara. Fokus kita sekarang adalah kesiapsiagaan menghadapi banjir dan pasca banjir.
“Perbetulkan tanggapan salah dan marilah bersama-sama kita terus menyalurkan bantuan dengan cara masing-masing mengikut kemampuan yang ada. Jika tidak dapat membantu, janganlah kita terus menyukarkan tugas pasukan keselamatan dengan tuduhan tidak berasas ini.”