
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia adalahantara syor baharu Jawatankuasa Kerja Teknikal CITF-B selepas menilai bukti sedia ada ke atas suntikan penggalak.
“Bagi warga emas dan orang dewasa yang sudah menerima semua jenis vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac – ia sangat disyorkan mereka menerima suntikan penggalak sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksin mereka,” katanya dalam sidang media.
Sebelum ini, penerima vaksin Pfizer dan AstraZeneca disaran menunggu enam bulan selepas dos kedua untuk menerima suntikan penggalak. Penerima vaksin Sinovac pula perlu menunggu tiga bulan.
Khairy berkata, badan pengawal selia dan pakar kesihatan di United Kingdom, Kanada serta Australia kini turut menyarankan suntikan penggalak diberikan seawal tiga bulan selepas dos kedua.
Beliau berkata, “bukti kukuh” yang dikumpul sejak tiga minggu lalu menunjukkan suntikan penggalak boleh meningkatkan perlindungan terhadap varian Omicron, di mana keputusan awal kajian ke atas 21 juta dos penggalak yang diberikan di UK menunjukkan hasil “sangat meyakinkan”.
Katanya, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menjalankan ujian ke atas 366 sampel kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara dari 21 hingga 25 Dis, di mana 306 daripadanya mungkin ialah varian Omicron.
Khairy berkata, IMR sedang menunggu keputusan ujian penjujukan genom keseluruhan (WGS) untuk menentukan sama ada pengembara itu benar-benar dijangkiti Omicron variant.
Katanya, Malaysia menarik balik larangan perjalanan ke atas lapan negara Afrika Selatan yang mula melaporkan pengesanan varian Omicron bulan lalu.
Botswana, Eswatini, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe kini dalam senarai negara berisiko tinggi.
Australia, Kanada, Denmark, Perancis, India, Nigeria, Norway, Arab Saudi, UK dan Amerika Syarikat turut disenaraikan negara berisiko tinggi.
“Kami akan menghentikan larangan perjalanan sementara dari lapan negara Afrika ini. Ia tidak masuk akal lagi kerana Omicron turut dikesan di negara lain – dan kami melihat penurunan kes di negara Afrika juga.
“Jika boleh, tolong elak ke 18 negara ini sehingga keadaan stabil.”