
Salah seorang penduduk, Sharifah Sharizah berkata, dia kini tidak perlu lagi bersusah payah bersama anak-anaknya mendaki ke puncak bukit di Kampung Panikuan di mukim Matunggong untuk mendapatkan isyarat internet.
“Bagi keluarga saya, anak-anak tidak perlu lagi mendaki bukit untuk mengikuti kelas dalam talian sebaliknya ia boleh dilakukan di rumah dengan selesa dan selamat,” katanya.
Pada Januari lalu, FMT melaporkan kisah kepayahan Sharifah yang terpaksa membawa anak-anaknya mendaki ke puncak bukit kira-kira 5km dari rumah mereka untuk mendapatkan isyarat internet supaya dapat mengikuti kelas dalam talian.
Mereka menjadikan daun kelapa sawit sebagai tempat berteduh daripada sinaran matahari, batu besar sebagai meja dan rumput yang panjang sebagai dinding’bilik darjah’. Ini kerana isyarat internet lebih kuat di atas puncak bukit.
Menurut Sharifah, selepas dua minggu berita itu disiar, beberapa pekerja mula datang ke kampungnya untuk membina menara telekomunikasi dan memasang kabel.
“Selepas dua minggu laporan itu keluar, pekerja yang diupah oleh kerajaan mula masuk ke kampung kami untuk membina menara telekomunikasi dan memasang kabel,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun katanya, ia mengambil sedikit masa sebelum menara terbabit beroperasi sepenuhnya.

“Namun, isyarat internet akhirnya disediakan pada April dan semua penduduk amat teruja untuk menggunakan alat peranti mereka tanpa perlu ke mana-mana kawasan tertentu bagi mencari liputan,” katanya.
Dalam kenyataan pada Julai lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, sebanyak sembilan menara telekomunikasi dibina di Sabah di bawah Jalinan Digital Negara (Jendela).
Kampung Panikuan adalah antara lapan kampung di Kudat yang menerima menara itu bagi membolehkan perkhidmatan jalur lebar yang pantas dan berkualiti dapat disediakan.
Selain masalah kemudahan internet, Sharifah berkata, pegawai daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut melawat keluarga di kampung itu untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kesukaran pembelajaran anak mereka.
“Kami amat bersyukur apabila kerajaan dan agensi serta kakitangannya memberi perhatian terhadap rayuan kami,” katanya.
Katanya, penduduk juga memanfaatkan kemudahan internet untuk menaik taraf kehidupan apabila kini boleh menjalankan pelbagai aktiviti e-dagang.
“Ia mengambil masa untuk mendapat perhatian namun kami amat bersyukur dan kini boleh memperbaiki kehidupan.
“Selain itu, bantuan daripada individu dan badan bukan kerajaan (NGO) turut disalurkan kepada kami seperti telefon pintar dan gajet lain kerana tersentuh apabila ramai kanak-kanak di sini sukar mengikut kelas dalam talian akibat kurangnya alat peranti,” katanya.