Tahniah! ‘Abang Viva’ hero orang Melaka, kata KM

Tahniah! ‘Abang Viva’ hero orang Melaka, kata KM

Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali berkata beliau tersentuh hati dengan tindakan Azwan Omar yang sanggup mengambil cuti daripada majikan untuk menyelamatkan mangsa banjir.

Kisah Azwan Omar tular di media sosial apabila dia sanggup datang dari Melaka ke Selangor untuk menyelamatkan mangsa banjir minggu lalu dengan berbekalkan wang RM50 untuk mengisi minyak kereta dan membeli makanan.
MELAKA:
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini mengucapkan tahniah serta memberi penghormatan kepada Azwan Omar, 29, atau lebih dikenali sebagai “Abang Viva” yang membantu mangsa banjir di Selangor dan kini di Pahang, dengan menggunakan kereta Perodua Viva dan sebuah bot miliknya.

Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali, ketika membentangkan Bajet 2022 negeri Melaka berkata, beliau tersentuh hati dengan tindakan Azwan yang sanggup mengambil cuti daripada majikannya untuk meredah kepayahan bagi menyelamatkan mangsa banjir di negeri berkenaan.

“Yang membanggakan kita adalah beliau pergi ke sana dengan menggunakan kereta (Perodua) Viva dan membawa sebuah bot di atas bumbungnya dengan hanya berbekalkan duit sebanyak RM50, iaitu RM20 digunakan untuk mengisi minyak kereta dan RM30 untuk membeli makanan bagi mengalas perut.

“Jadi apa salahnya kiranya kita mengucapkan tahniah dan penghormatan kepada sukarelawan hero orang Melaka ini dengan kita semua memberikan tepukan semangat kepada ‘Abang Viva’,” katanya.

Kisah Azwan tular di media sosial apabila sanggup datang dari Melaka ke Selangor untuk menyelamatkan mangsa banjir minggu lalu dengan berbekalkan wang RM50 untuk mengisi minyak kereta dan membeli makanan.

Dalam pada itu, Sulaiman turut mengumumkan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi membeli bot untuk digunakan dalam misi menyelamat mangsa banjir di negeri berkenaan sebagai persediaan menghadapi musibah pada masa akan datang.

Beliau, yang mewakili kerajaan negeri, turut bersimpati dan melahirkan rasa dukacita atas bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini sehingga menyebabkan beberapa negeri ditenggelami air dan rakyat memerlukan bantuan segera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.