Mangsa banjir tak perlu kemuka dokumen sokongan tangguh bayaran PTPTN

Mangsa banjir tak perlu kemuka dokumen sokongan tangguh bayaran PTPTN

Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkenaan boleh mengemukakan permohonan itu mulai esok sehingga 31 Mac 2022.

PTPTN berkata, peminjam yang terkesan dengan bencana banjir boleh mengemukakan permohonan mulai esok sehingga 31 Mac 2022 melalui portal rasmi atau hadir ke mana-mana cawangan berdekatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata, tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan untuk permohonan penangguhan bayaran balik pinjaman selama tiga bulan kepada peminjam yang terkesan bencana banjir.

PTPTN dalam kenyataan berkata, peminjam boleh mengemukakan permohonan mulai esok sehingga 31 Mac 2022 melalui portal rasmi atau hadir ke mana-mana cawangan berdekatan.

“Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat bencana banjir ini akan diberikan untuk tempoh tiga bulan bermula pada bulan sama kelulusan permohonan diberikan PTPTN dan dua bulan ke hadapan antara Dis 2021 hingga Mei 2022.

“Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mel dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan,” katanya.

Jumaat lalu, kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN selama tiga bulan kepada peminjam yang terkesan bencana banjir.

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata, peminjam yang terkesan boleh mengemukakan permohonan kepada PTPTN bermula 28 Dis hingga 31 Mac 2022.

Dalam pada itu, PTPTN berkata, untuk permohonan penangguhan bayaran pinjaman balik itu, peminjam diingatkan supaya mengemas kini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini.

Katanya, ini bagi memastikan maklumat kelulusan permohonan penangguhan tersebut dapat disampaikan kepada mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.