
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Azman Shariat berkata, anggotanya diarahkan sentiasa memberi keutamaan laluan kepada kenderaan kecemasan, terutamanya ambulans dan bomba.
Akan tetapi katanya, disebabkan jarak pendahulu konvoi Perdana Menteri yang berada di laluan utama telah menghampiri persimpangan itu, anggota trafik mengambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sekiranya anggota trafik di persimpangan memberi keutamaan jalan kepada pacuan 4×4 dan ambulans milik Persatuan Bulan Sabit Merah yang hendak keluar dari simpang ke jalan utama, ia akan mewujudkan risiko kemalangan serta membahayakan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian susulan satu klip video yang tersebar di media sosial menunjukkan kenderaan pacuan empat roda dan ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah berhenti di persimpangan jalan bagi memberi laluan kepada konvoi Perdana Menteri yang diiringi polis trafik.
Kejadian itu berlaku 11.30 pagi semalam ketika rombongan Perdana Menteri dalam perjalanan meninjau kerja pembersihan pelbagai agensi bagi membantu mangsa banjir dari Taman Sri Nanding ke Masjid Al-Mustaqqim, Batu 16.
Azman berkata, sejurus konvoi Perdana Menteri melepasi persimpangan itu, anggota trafik segera memberi laluan kepada pacuan empat roda dan ambulans itu selepas mendapati tiada risiko kemalangan.
“Polis sentiasa peka dan komited dalam memberi keutamaan kepada kepentingan awam, khususnya apabila penugasan membabitkan keselamatan pengguna jalan raya dan kenderaan kecemasan, terutama ambulans serta bomba.”