Keazaman bantu mangsa banjir, nenek Sarah ambil jurugambar jadi anak angkat

Keazaman bantu mangsa banjir, nenek Sarah ambil jurugambar jadi anak angkat

Keow Wee Loong nekad turun membantu mangsa banjir di Kajang terutama selepas melihat ratapan Sarah Tabri akibat kemusnahan kediamannya.

Keadaan rumah Sarah Tabri, sebelum dan selepas dilanda banjir dan selepas kerja pembersihan. (Gambar Twitter @KeowWeeLoong)
PETALING JAYA:
Tersentuh melihat gambar kemusnahan dan kesengsaraan akibat banjir, jurugambar komersial, Keow Wee Loong, nekad turun membantu mangsa banjir di Kajang.

Hatinya juga hiba sejurus melihat ratapan seorang wanita warga emas menangis di hadapan kediamannya yang hampir musnah kesan banjir melanda Selangor dan beberapa negeri lain, minggu lalu.

Keow, 32, berkata beliau berjumpa dengan wanita itu, Sarah Tabri, yang dipanggil “nenek Sarah” dan bertanya masalahnya.

“Dia memberitahu saya ceritanya tentang bagaimana semuanya musnah dan bagaimana dia terperangkap selama enam jam, namun bernasib baik diselamatkan.

“Saya kasihan terhadapnya kerana dia juga baharu kehilangan suami akibat Covid-19 beberapa bulan lalu,” kata Keow kepada FMT.

“Kerosakan terhadap kediamannya cukup teruk. Tambahan pula, tiada air di Kajang selama tiga ke empat hari.

Sarah Tabri tersenyum gembira menunjukkan semangkuk penuh Sate Kajang. (Gambar Twitter @KeowWeeLoong)

Beliau kemudian berjanji kepada Sarah akan kembali selepas tiga hari.

“Saya berjanji kepada nenek Sarah yang saya akan kembali membantu membersihkan kerana kami memerlukan bekalan air untuk berbuat demikian,” katanya.

Keow kemudian memohon pertolongan daripada Exco Selangor Hee Loy Sian, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

“Bila saya kata saya mahu tolong, saya betul-betul mahu tunaikannya. Saya bersama beberapa sukarelawan dan dua YB berkenaan, Saya bantu membersihkan kediamannya. Kami mengambil masa selama enam jam, terima kasih kepada yang sudi membantu.

“Melihat nenek Sarah mula tersenyum selepas kami selesai suatu perasaan yang sukar digambarkan. Ia detik menyentuh perasaan,” katanya.

Keow berkata, beliau kagum dengan tindakan dilakukan Hee dan Nurul Izzah, yang bukan sahaja membantu membersihkan kediaman itu, malah turut menyumbang sejumlah wang dan membantu Sarah mendapatkan perabot, manakala Sim pula menyumbang peralatan dapur.

(Atas) Kelihatan Sarah Tabri kesedihan selepas rumahnya teruk dilanda banjir dan (bawah) memaparkan kegembiraan terpampar di wajahnya selepas dibaikpulih. (Gambar Twitter @KeowWeeLoong)

Katanya, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan status politik, melihat kerjasama terjalin untuk membantu golongan kesusahan begitu indah.

Keow turut berkongsi gambar kegembiraan nenek Sarah bersama semangkuk penuh sate dalam ciapan di Twitter miliknya bersama keterangan,”Gembira melihat rumahnya sudah dibersihkan, dan dia juga mengambil saya sebagai anak angkat kerana membantunya. Saya katakan, mengapa tidak. Saya gemar makan sate Kajang…nenek suka sajikan makanan kepada orang muda.”

Menurut Keow, seorang daripada anak perempuan Sarah, Nor Shahira Lakimin, memberitahunya ibunya cukup gembira dan mahu mengambilnya menjadi anak angkat dan mahu saya datang berkunjung pada Hari Raya.

Nor Shahira, 39, berkata dia juga terkejut dengan bantuan diberikan kepada ibunya itu.

“Saya ingat mereka buat semua ini kerana semata-mata untuk gambar. Tapi, dia (Keow) tetap dengan pendiriannya dan penuhi janjinya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.