
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata, pelet plastik diketahui boleh tercicir keluar ketika proses pembuatan dan pengangkutan dan ditemui di pantai di seluruh dunia termasuk Malaysia.
“Beberapa kesan terhadap kesihatan dikaitkan dengan bahan kimia ini termasuklah kanser atau mengubah aktiviti hormon yang boleh menimbulkan pelbagai masalah termasuk menjejaskan sistem pembiakan, pembesaran dan gangguan kognitif,” kata Presidennya, Mohideen Abdul Kader dalam kenyataan.
Beliau berkata, pelet plastik bertindak sebagai “span toksik” dan menarik bahan cemar di sekeliling ke permukaan air. Katanya, ia kemudian memasuki rantaian makanan di sekelilingnya dan keadaan itu akan menyebabkan kesan negatif terhadap ekosistem.
“Lebih 220 spesies marin didapati termakan mikroplastik seperti pelet plastik dan lain-lain serpihan plastik,” katanya.
Mohideen turut menggesa pihak berkuasa mengharamkan import sisa plastik, mengurangkan penggunaan plastik dan menggubal undang-undang merangkumi pengeluaran, penggunaan, kitar semula dan pelupusan plastik.