Tiada maklumat projek EKVE punca banjir lumpur Hulu Langat, kata MB Selangor

Tiada maklumat projek EKVE punca banjir lumpur Hulu Langat, kata MB Selangor

Amirudin Shari berkata berdasarkan maklumat awal banjir teruk melanda Hulu Langat disebabkan kepala air yang jatuh dari kawasan pergunungan sekitar.

Amirudin Shari berkata, beliau akan merujuk kepada Ismail Sabri berhubung kenyataan Perdana Menteri itu bahawa banjir lumpur di Hulu Langat dipercayai akibat projek pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur.
SHAH ALAM:
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memaklumkan beliau tidak memperoleh maklumat mengenai dakwaan projek pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dipercayai merupakan antara punca banjir lumpur di sekitar Taman Sri Nanding, Hulu Langat.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal banjir teruk yang melanda Hulu Langat itu disebabkan kepala air dari kawasan pergunungan sekitar.

“Ada 30 tempat tanah runtuh (di kawasan Hulu Langat). Ini bermakna takungan air besar daripada pergunungan turun dan jadi kepala air.

“(Ia) turut mengheret longgokan sampah dan kayu-kayan sampai ke Batu 14 dan Sungai Lui di kawasan persekitarannya,” katanya pada sidang media khas banjir di Selangor.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek EKVE dipercayai merupakan antara punca banjir di Taman Sri Nanding.

Ismail berkata, hasil pemantauannya mendapati pembinaan lebuh raya itu menyebabkan longkang tertutup dan mengganggu sistem saliran air.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, beliau akan merujuk kepada Ismail berhubung kenyataan Perdana Menteri mengenai perkara itu.

“Itu pandangan yang dia terima. Saya akan rujuk Perdana Menteri,” katanya.

40,000 mangsa banjir

Sementara itu, Amirudin berkata, seramai 40,000 mangsa banjir dipindahkan ke 205 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan lapan daerah di Selangor.

“Jumlah keluarga kita kumpulkan seramai 9,000 dan sebanyak 11,598 mangsa masih lagi di PPS. Manakala, 25 kematian dicatatkan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, terdapat tiga kategori penerima RM1,000 melalui bantuan Selangor Bangkit kepada mangsa banjir.

“Pertama, mangsa duduk di PPS awam dikendali kerajaan negeri, kedua mangsa duduk di PPS swasta atau persendirian dan ketiga mangsa yang dikesan banjir tetapi tidak pindah PPS awam atau swasta,” katanya.

Katanya, bagi Kategori 1 dan 2, pendaftatan permohonan bantuan bermula Rabu ini secara berperingkat.

“Namun ada juga maklumat yang telah didaftar di PPS kerajaan negeri. Cuma mahu dikategorikan sebagai golongan pendapatan B40 atau M40,” katanya.

Amirudin berkata, bagi kategori ketiga, kerajaan negeri akan membuat pendaftatan rumah ke rumah bermula 3 Jan tahun depan.

Beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri membatalkan sambutan Tahun Baharu dan akan digantikan majlis tahlil, bacaan doa selamat dan zikir munajat di seluruh masjid di Selangor.

Katanya, aktiviti itu akan dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Selangor.

“Bagi surau-surau, musola dan tempat sembahyang digalakkan untuk sertai aktiviti dilaksanakan dan boleh susun dengan kesesuaian pelaksanaannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.