4 tahun berlalu, pemuda masih ‘terdengar’ pekikan, tangisan mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqiyah

4 tahun berlalu, pemuda masih ‘terdengar’ pekikan, tangisan mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqiyah

Sufian Mat antara orang pertama yang menyelamatkan mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Dato Keramat, pada 2017.

Empat tahun berlalu namun tangisan dan teriakan pelajar tahfiz merayu diselamatkan masih terngiang dalam ingatan Sufian Mat.
KUALA LUMPUR:
Setiap kali melihat parut luka di tangan, Sufian Mat mengimbau kembali tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 pelajar dan guru pada 2017.

Empat tahun telah berlalu, namun tangisan dan teriakan pelajar merayu diselamatkan daripada api yang marak berulang-ulang bermain dalam ingatan Sufian.

“Sekitar 20 hingga 30 minit, mereka menjerit sambil meloncat-loncat. Minta tolong…abang…akak…sakit…panas,” kata Sufian ketika ditemui FMT.

“Mereka pegang jeriji. Bila saya pandang, anak-anak itu tengah pandang saya, minta tolong. Mereka kata, abang tolong bang…panas…sakit.

Sufian Mat

“Saya tak sanggup nak tengok lagi tapi telinga saya dengar mereka menangis minta tolong. Lama-lama suara tu dah senyap. Mereka sudah tak ada.”

Ketika itu, Sufian, 19, yang tinggal berhampiran sekolah tahfiz berkenaan di Kampung Dato Keramat, antara yang pertama bergegas untuk menyelamatkan mangsa kebakaran yang mengejutkan negara itu.

Sufian sempat menyelamatkan beberapa pelajar, sebelum dia sendiri ditimpa kecederaan dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

Hingga sekarang, dia diselubungi rasa kesal yang menebal atas kehilangan begitu ramai nyawa.

Kebakaran pusat tahfiz berkenaan pada 14 Sept 2017 itu yang meragut nyawa 21 pelajar berusia antara 6 hingga 16 tahun dan dua guru berusia 20-an dianggap detik hitam negara.

Ia mengundang pelbagai persoalan mengenai pengelolaan ribuan sekolah pondok dan tahfiz di negara ini.

Sungguhpun ia adalah akibat perbuatan khianat, kebakaran pusat tahfiz itu menggerakkan kerajaan mengambil langkah memastikan pusat-pusat tahfiz didaftarkan dan mematuhi piawaian serta peraturan keselamatan.

Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 14 Sept 2017 meragut nyawa 21 pelajar berusia antara 6 hingga 16 tahun dan dua guru berusia 20-an.

Negara pernah dikejutkan dengan tragedi kebakaran Pondok Pak Ya di Guar Cempedak, Kedah pada 1989. Seramai 27 pelajar maut ketika tidur apabila lilin yang menerangi bilik asrama terjatuh lalu terkena tilam lalu menyebabkan kebakaran yang tidak dapat dikawal.

Hari ini, isu keselamatan pusat tahfiz dan pondok tidak banyak diperkatakan, namun bagi Sufian, detik hitam kebakaran itu tidak luput daripada ingatan.

Tangan Sufian putus urat saraf dan “berlubang” terkena serpihan kaca apabila meredah masuk bangunan tiga tingkat itu untuk menyelamatkan mangsa.

“Mereka yang terselamat semua budak-budak dewasa. Mereka pandai panjat. Saya tanya adik-adik mana? Mereka kata, adik-adik ramai sudah tak sedar, pengsan, asap tebal.

“Ada satu letupan berlaku, cermin jatuh kena tangan saya. Saya tak perasan. Budak yang saya tolong tu beritahu, abang tangan abang berdarah. Bila saya tengok, tangan saya dah berlubang. Saya pening sebab darah banyak keluar,” ceritanya.

Sufian dan mangsa yang terselamat dikejarkan ke hospital dalam ambulans yang sama.

“Saya juga ditempatkan dalam wad bersama-sama mereka. Kami selalu bercerita pasal kebakaran semasa dalam wad. Mereka kata, oleh kerana asap tebal dan api marak, mereka tak boleh nak selamatkan adik-adik yang lain,” katanya.

Keadaan terkini bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Pada 17 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara ke atas remaja lelaki berusia 19 tahun selama yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong bagi kesalahan membunuh 23 individu dalam kebakaran itu.

Ketika perbicaraan, mahkamah diberitahu jumlah sumbangan orang ramai kepada pusat tahfiz itu mencecah RM8 juta dan pengurusan tahfiz berjanji untuk mengagihkannya kepada mangsa atau waris yang terkesan.

Bagi Sufian, soal pampasan itu tidak penting dan tidak mampu mengubati “sakitnya” apabila teringatkan tangisan dan pekikan mangsa yang akhirnya menemui ajal dalam kebakaran awal pagi itu.

“Saya dengar kata bayaran pampasan masih sangkut. Tak tahu di mana silapnya. Saya sendiri tak terima apa-apa pampasan, saya jadi saksi pendakwaan pun secara ikhlas nak bantu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.