Teruk dilanda banjir, SMK Maxwell perlu bantuan untuk pulih

Teruk dilanda banjir, SMK Maxwell perlu bantuan untuk pulih

Kerosakan dialami sekolah itu dianggarkan bernilai lebih RM500,000, dengan barangan yang terjejas seperti komputer, buku, dan peralatan sukan.

Tingkat bawah SMK Maxwell tenggelam sepenuhnya.
PETALING JAYA:
Banjir besar hujung minggu lalu adalah yang paling teruk melanda SMK Maxwell, dalam sejarahnya selama 104 tahun.

Antara barangan yang rosak adalah komputer, buku, pencetak, kerusi, meja, permaidani, peralatan sukan dan alatan untuk latihan industri.

Menurut Maxwell School Old Boys’ Association (MAXOBA), kerosakan dianggarkan bernilai lebih RM500,000.

“Tingkat bawah sekolah itu tenggelam sepenuhnya,” kata Presiden MAXOBA Zakhir Hussian kepada FMT.

Kira-kira 150 ahli persatuan meluangkan cuti Krismas mereka untuk menjalankan usaha pembersihan besar-besaran di sekolah itu.

Sukarelawan gigih menjalankan usaha pembersihan di sekolah itu.

Mereka disertai guru, jabatan bomba dan penyelamat, sukarelawan Universiti Kebangsaan Malaysia, Persatuan Pengakap Kuala Lumpur dan Persatuan Pelajar Semenanjung Malaysia, selain ahli Umno Segambut dan MIC Kepong.

Ahli Parlimen Batu P Prabakaran, yang juga bekas pelajar sekolah itu, dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh turut membabitkan diri dalam usaha tersebut.

Menurut Zakhir, mereka berjaya membersihkan kira-kira 80% kawasan sekolah.

Ahli Parlimen Batu P Prabakaran (kanan) bersama sukarelawan lain yang membantu membersihkan SMK Maxwell.

“Terima kasih kepada pihak pentadbiran sekolah yang diketuai pengetua Norlaila kerana memberi peluang kepada kami, bekas pelajar, berkhidmat untuk sekolah,” katanya.

Beliau menyeru bekas pelajar Maxwell lain dan orang ramai agar membantu MAXOBA mengumpul wang bagi meringankan beban sekolah itu untuk pulih.

Mereka yang ingin menyumbang boleh menghubungi Zakhir Hussian di 016-2359908 dan Thiyagarajan di 012-6445-041

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.