
Dalam kejadian 3 petang, mangsa Nor Eaffendi Mohamad Samsi, 51, menunggang motosikal dibonceng isterinya, Asfalilah Abu Hassan, dikatakan dalam perjalanan konvoi seramai 30 orang dari Jerantut menuju ke Wangsa Maju.
Mangsa yang beralamat di Ulu Tiram, Johor, berlepas dari Johor Bahru ke Jerantut, Jumaat lalu dan menginap di sana sebelum memulakan perjalanan ke Wangsa Maju.
Kumpulan itu dilaporkan melalui jalan berkenaan untuk singgah di Bukit Fraser.
Ketua Polis Daerah Raub, Kama Azural Mohamed, berkata kejadian berlaku ketika kumpulan konvoi terbabit melalui kawasan lereng bukit.
“Pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati ada pendarahan di muka. Topi keledar yang dipakai mempunyai kesan retak di bahagian atas.
“Saksi utama yang juga isteri mangsa yang membonceng motosikal itu, memberitahu kejadian berlaku sekelip mata ketika tiba di lokasi.
“Isteri mangsa memaklumkan terdengar bunyi hentakan kuat di kepala suami sebelum penunggang terjatuh dan motosikal terbabas ke bahagian kanan jalan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Kama Azural berkata, Asfalilah dilaporkan turut terjatuh tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Raub untuk bedah siasat dan ujian Covid-19 disahkan negatif.
“Hasil bedah siasat dijalankan semalam mengesahkan kematian mangsa disebabkan pendarahan di otak dengan tempurung kepala retak.
“Pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah. Kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR) memandangkan saksi utama, iaitu isteri mangsa, mengesahkan bahagian kepala si mati telah ditimpa batu/objek keras ketika menunggang motosikal,” katanya.