
Guru seni Megan Koh Suet Cheng terpaksa kekal di rumah menjaga anaknya berusia 8 tahun sejak sekolah ditutup.
Beliau memerlukan sumber pendapatan baharu yang dapat diperoleh dari rumah agar pada masa sama, beliau dapat menjaga anaknya, serta ibu yang menghidap dementia.
Wanita berusia 42 tahun itu membuat keputusan untuk melaksanakan ideanya yang bukan sahaja dapat menjana pendapatan, malah membawa sinar harapan bagi mereka yang sedang bergelut.
Berbekalkan berus serta bakat seni dan masakannya, Koh memulakan perniagaan kecil-kecilan, Jarco.my, di mana beliau menjual balang dan botol kaca dengan hiasan unik, diisi dengan pelbagai jenis biskut dan coklat.
“Saya menghias balang bermula kira-kira 8 malam, apabila suami saya pulang kerja dan ambil alih tugas jaga anak kami. Saya biasanya bekerja hingga lewat malam dan tidur hanya pada antara 1 dan 4 pagi,” katanya kepada FMT ketika ditemui di rumahnya di Balakong, Selangor.

“Saya ambil masa sekurang-kurangnya 12 jam untuk hias satu balang sahaja. Saya hiasnya dengan beberapa lapisan cat, yang perlu kering satu per satu, kemudian saya tambah sedikit ‘decoupage’, iaitu lekatkan potongan kertas berwarna. Kemudian, saya tambah lagi dengan ciri-ciri hiasan lain.
“Balang-balang itu perlu selamat untuk kegunaan kanak-kanak, jadi saya jadikannya steril sebelum saya hiasnya. Semua cat yang saya gunakan bukan bersifat toksik dan larut dalam air, jadi ia benar-benar selamat.”
Pada siang hari, beliau setia menjaga anaknya, Phang Yong Shen, yang menghidap spina bifida occulta, keadaan yang disebabkan oleh satu atau lebih vertebra tidak terbentuk sepenuhnya semasa dalam kandungan.
Dia juga mempunyai masalah perkembangan yang masih belum mendapat diagnosis sepenuhnya dan kadangkala mempengaruhi tingkah lakunya.
“Saya perlu betul-betul memerhatikannya kerana dia mungkin memanjat ke tempat yang berbahaya dan mencederakannya dirinya,” kata Koh.
Beliau turut sentiasa perlu memberikan penjagaan dan perhatian kepada ibunya yang menghidap dementia.
Koh berharap pendapatan yang dijana oleh perniagaan baharunya dapat membantunya membayar bil ubat-ubatan yang tinggi.
Ini adalah satu perjuangan, dan walaupun sering letih, beliau tidak akan membiarkannya melemahkan semangatnya.
Menerusi balang-balangnya, wanita itu mencipta hadiah kecil namun bermakna yang membawa mesej positif bagi sesiapa yang sedang bergelut dalam tempoh sukar ini.
“Saya harap balang-balang ini dapat memberi senyuman dan motivasi kepada orang lain untuk terus berjuang ketika berdepan kesukaran,” katanya.
Untuk musim Krismas tahun ini, beliau menawarkan balang-balang edisi terhad, di mana pelanggan boleh memilih daripada tiga reka bentuk yang akan diisi dengan biskut mentega kacang buatannya sendiri, biskut cip coklat rangup dan pelbagai jenis coklat.

Setiap balang yang ditempah dijadikan peribadi dengan nama penerima dan ucapan Krismas daripada pemberi.
“Saya cipta slogan ‘Sentiasa ada sebab untuk senyum’ bagi perniagaan saya. Saya hanya mahu beri sedikit harapan bagi mereka yang menderita,” katanya.
Beliau berpesan kepada mereka yang menjaga anak-anak berkeperluan khas: “Jangan putus asa, kekal sabar dan positif. Harapan masih ada selagi kita berusaha.”
Harapan Koh adalah pada musim Krismas kali ini, setiap balang hasil kerja tangannya akan dapat memberi kegembiraan kepada sesiapa yang memerlukannya.
Balang-balang rekaan Koh boleh didapati di Jarco.my di Facebook.