Luruan monsun: Bomba nasihat tangguh aktiviti riadah luar, pendakian

Luruan monsun: Bomba nasihat tangguh aktiviti riadah luar, pendakian

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah Md Ali Ismail berkata angin sejuk dibawa dari Siberia dijangka mengakibatkan hujan berterusan terutama di pantai timur dan utara negeri.

Orang ramai terutama di pantai timur dan utara Sabah dinasihatkan menangguhkan aktiviti riadah luar berikutan luruan monsun yang diramal bermula esok.
PETALING JAYA:
Orang ramai terutama di pantai timur dan utara Sabah dinasihatkan menangguhkan aktiviti riadah luar seperti berkelah, berkhemah di kawasan pinggiran sungai atau aktiviti pendakian, berikutan luruan monsun diramal bermula esok.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Sabah Md Ali Ismail berkata ini kerana luruan monsun yang membawa angin sejuk dari Siberia, dijangkakan mengakibatkan hujan berterusan terutama di kawasan pantai timur dan utara Sabah.

Beliau berkata keadaan ini berpotensi mengakibatkan banjir, tanah runtuh dan lain-lain kejadian tidak diingini.

“Orang ramai yang tinggal di kawasan tersebut dinasihatkan untuk lebih peka dan sentiasa berwaspada. JBPM Sabah telah diletakkan dalam keadaan lebih bersiap siaga, dengan meletakkan aset-aset berkaitan di lokasi strategik dengan lebih awal,” katanya menurut laporan Bernama.

Md Ali berkata JBPM Sabah juga membuat pemantauan dari semasa ke semasa, selain berkoordinasi dengan agensi lain di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri, untuk bertindak balas sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

Pada Khamis lepas (23 Dis) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan luruan monsun pada 27 hingga 30 Dis, antara lain menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.

Menurut MetMalaysia keadaan itu juga boleh menyebabkan hujan berterusan di Johor, Sabah dan Sarawak dalam tempoh 28 hingga 30 Dis ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.