Kereta ‘terjun’ sungai, budak 4 tahun maut

Kereta ‘terjun’ sungai, budak 4 tahun maut

Adik mangsa berusia dua tahun cedera dan menerima rawatan di zon merah.

Siasatan mendapati pemandu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan jatuh dalam sungai. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia selepas Perodua Myvi yang dinaiki bersama keluarganya terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jalan Sungai Korok, Jitra, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, mangsa, Haraz Safiy Haniz, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Jitra manakala adiknya, Syafin Haadif, 2, menerima rawatan di Zon Merah hospital berkenaan.

Bapa mangsa, Haniz Mohamad, 35, dari Kampung Sungai Kechik, Kuala Nerang, hanya luka ringan manakala isterinya, Nurul Syahira Zamri, 34, luka di dahi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan sebuah kereta yang disyaki terbabas dan jatuh ke dalam sungai berkenaan pada jam 11.29 pagi.

Beliau berkata, semua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pemandu kereta dan siasatan mendapati, mereka dari pekan Jitra menuju ke Air Hitam.

“Namun setiba di Jalan Sungai Korok, pemandu kereta dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas ke kanan jalan dan terlanggar papan tanda di bahu kanan jalan sebelum terjatuh ke dalam sungai,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan.

“Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu disahkan meninggal dunia pada jam 12.20 tengah hari ketika menerima rawatan.

“Mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.