Rina ‘dibasuh’ warganet gara-gara cuci lantai PPS dikelilingi jurufoto

Rina ‘dibasuh’ warganet gara-gara cuci lantai PPS dikelilingi jurufoto

Antara punca menteri itu terus menjadi bahan 'troll' kerana beliau mempunyai pasukan penasihat tidak teliti dan kurang bijak, kata pengguna Twitter.

Video memaparkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Nama Rina Harun terus “trending” di Twitter apabila aktiviti Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu di kawasan banjir hangat dibincangkan.

Pengguna Twitter, dylawok, memuat naik video Rina melakukan kerja-kerja pembersihan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) menggunakan penyembur air dengan aksinya dirakam jurugambar dan beberapa individu lain.

Tindakan menteri  itu dipersoalkan warganet.

“Entah kenapa dia pergi cuci PPS. Sepatutnya pergi cuci rumah mangsa banjir. Kau tengoklah secalit lumpur pun takde dekat situ. Kenapalah kau ni menjadi seorang Rina,” ciap dylawok.

Ketika berita ini ditulis, video itu telah diciap semula lebih 16,000 kali.

Pengerusl Kumpulan Karangkraf, Hussamuddin Yaacub, turut merujuk kepada video itu dalam ciapan Twitternya. Beliau berkata antara punca Rina terus menjadi bahan “troll” adalah disebabkan beliau mempunyai pasukan penasihat yang tidak teliti dan kurang bijak.

“Saya naik kesian dengan YB DS Rina Harun, tak habis-habis kena troll. Ternyata beliau dikelilingi oleh team penasihat yang kurang pandai. Hampir semua PR stunt yang diaturkan tidak menjadi.

“Tidak ada ketelitian semasa merancang & execution. Kena freeze kejap & restrategize. Kesian!” menurut ciapan itu.

Sebelum ini, Rina tampil memberi penjelasan atas kecaman warganet terhadapnya yang menuduhnya  tidak peka terhadap persekitaran semasa kerana berkasut tinggi ke sebuah PPS hujung minggu lalu.

“Saya ingin memaklumkan pada hari tersebut, pada 19 Dis, saya menghadiri Perhimpunan Agung Bersatu dan sebagai Ketua Srikandi Bersatu, saya perlu berada di perhimpunan tersebut.

“Ketika mesyuarat, saya turut menerima banyak laporan tentang bencana banjir dan hati saya tidak berasa tenang dan saya risau tentang mangsa banjir. Saya membuat keputusan selepas mesyuarat, saya akan melawat sekurang-kurangnya satu PPS,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Katanya, beliau hanya sempat menyalin baju dan tidak teringat kasutnya.

“Apa yang lebih penting pada saya adalah keberadaan saya di pusat tersebut untuk membantu dan menjaga kebajikan mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata, menjadi kelaziman menteri sepertinya dikecam dalam pelbagai aspek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.