BSN sedia pembiayaan kewangan peribadi tanpa faedah untuk mangsa banjir

BSN sedia pembiayaan kewangan peribadi tanpa faedah untuk mangsa banjir

Pembiayaan kewangan peribadi tanpa faedah MyRinggit-i Banjir sehingga RM10,000 itu bagi meringankan beban mangsa untuk membeli peralatan dan kelengkapan rumah baharu.

BSN menjelaskan MyRinggit-i Banjir terbuka kepada mangsa banjir di seluruh negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menawarkan pembiayaan kewangan peribadi tanpa faedah MyRinggit-i Banjir sehingga RM10,000 berbanding RM5,000 yang diumumkan pada minggu lepas kepada mangsa banjir.

“RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan ini bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir untuk membeli peralatan dan kelengkapan rumah baharu bagi menggantikan yang telah musnah akibat bencana,” kata Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam kenyataan.

Beliau berkata, pembiayaan itu adalah dengan moratorium bayaran balik selama enam bulan dan selanjutnya bayaran balik dalam tempoh sehingga 3.5 tahun.

Pemohon boleh memohon mulai 27 Dis melalui https://www.bsn.com.my.

Sementara itu, BSN dalam kenyataan berasingan pula menjelaskan MyRinggit-i Banjir terbuka kepada mangsa banjir di seluruh negara.

“Mangsa-mangsa yang terkesan akibat banjir boleh memohon dengan melengkapkan borang permohonan dalam talian melalu laman web rasmi BSN – www.bsn.com.my.

“Bagi pemohon yang mempunyai masalah atau tidak mempunyai akses untuk ke laman web berkenaan, sila kunjungi Cawangan BSN berdekatan bagi membuat permohonan,” menurut BSN.

Dokumen yang diperlukan bagi permohonan tersebut ialah salinan kad pengenalan, salinan bil elektrik rumah yang terjejas dan surat pengesahan daripada pegawai daerah/JKKK/laporan polis berkenaan rumah yang terjejas.

BSN menambah, pihaknya akan memaklumkan status permohonan melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Pemohon boleh menyemak status permohonan dari semasa ke semasa melalui laman web rasmi BSN, menurutnya.

Layari www.bsn.com.my atau hubungi Pusat Perhubungan Pelanggan BSN melalui talian 1300-88-1900 untuk maklumat lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.