Bimbang tanah runtuh, penghuni pangsapuri diarah pindah

Bimbang tanah runtuh, penghuni pangsapuri diarah pindah

Perkara itu disahkan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim sambil memaklumkan penduduk Apartmen Sri Duta di Taman Duta, Kuala Lumpur dipindahkan selepas tanah runtuh berlaku di tapak beberapa blok pangsapuri.

Penghuni Apartmen Sri Duta 1 dipindahkan atas faktor keselamatan walaupun polis berkata tiada pergerakan tanah di kawasan terlibat. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA:
Penduduk satu lagi pangsapuri di Lembah Klang dipindahkan atas faktor keselamatan, selepas banjir hujung minggu lalu.

Perkara itu disahkan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim sambil memaklumkan penduduk Apartmen Sri Duta di Taman Duta, Kuala Lumpur dipindahkan selepas tanah runtuh berlaku di tapak beberapa blok pangsapuri.

“IKRAM (Institut Kerja Raya Malaysia) sedang meneliti perkara ini dan mereka akan membincangkannya dengan DBKL, dan pengurusan pangsapuri (tentang penyelesaian).

“DBKL kemudian akan maklumkan saya laporan (daripada Ikram),” katanya ketika dihubungi, sambil memaklumkan laporan itu kemungkinan besar akan siap esok.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Hassan berkata, tiada bukti menunjukkan berlaku pergerakan tanah di kawasan itu.

“Pada masa ini, kontraktor sedang melaksanakan kerja-kerja pengukuhan tapak. Kerja pemantauan juga dijalankan oleh DBKL setiap hari bagi meninjau pergerakan air dan tanah.

“Sehingga kini, tiada pergerakan tanah dikesan,” katanya menurut laporan The Star.

Katanya, DBKL telah memindahkan 34 isi rumah pangsapuri terbabit minggu lalu kerana kawasan itu dinilai sebagai tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Tiada kecederaan dilaporkan.

Gambar tanah runtuh di pangsapuri itu mencetuskan kebimbangan selepas tersebar di media sosial sebelum ini. Penduduk beberapa apartmen lain juga telah dipindahkan kerana faktor keselamatan.

Pada 21 Dis lalu media melaporkan penghuni Pangsapuri Indahria di Batu Tiga, Shah Alam, diminta berpindah kerana keadaan struktur bangunan itu membimbangkan susulan banjir melanda kawasan itu.

Shahidan berkata, Kondominium Bangsar Indah juga baru-baru ini dikosongkan, selepas terjejas akibat tanah runtuh.

Sementara itu, Shahidan berkata, DBKL berhasrat mengadakan pertemuan dengan pengurusan bangunan di Kuala Lumpur yang memiliki tempat letak kereta bawah tanah, susulan laporan kenderaan mengalami kerosakan dalam parkir seperti itu.

Katanya, ia bagi membincangkan cara melaksanakan satu sistem untuk memberi amaran awal untuk penduduk mengalihkan kenderaan dari ruang seperti itu jika berlaku banjir kilat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.