Bantuan mangsa banjir masih cukup, Kelantan dalam ‘standby mode’

Bantuan mangsa banjir masih cukup, Kelantan dalam ‘standby mode’

Rata-rata mangsa banjir sedang bersiap untuk menghadapi gelombang kedua banjir, kata Exco negeri.

Jumlah tertinggi mangsa banjir di Kelantan direkodkan pada 20 Dis lepas, melibatkan seramai 3,801 orang daripada 1,098 keluarga di 57 pusat pemindahan sementara. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Bantuan bekalan makanan serta kelengkapan peralatan di semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang diwartakan di Kelantan diletakkan dalam mod sedia (standby mode) jika gelombang kedua banjir melanda negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Mumtaz Md Nawi berkata, ini dilakukan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu meskipun amaran atau ramalan hujan dan banjir telah dikeluarkan di kawasan tertentu.

“Ketika saya melakukan tinjauan di PPS sebelum ini, rata-rata mangsa banjir yang ditemui memaklumkan kepada saya bahawa mereka sedang bersiap untuk menghadapi gelombang kedua banjir dengan menyimpan dokumen penting, ubat, makanan asas dan sebagainya.

“Oleh itu, kerajaan Kelantan juga sedang mengambil langkah perlu untuk berdepan dengan situasi atau sebarang kemungkinan yang berlaku sama ada teruk atau tidak kerana banjir ini adalah diluar jangkaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Mumtaz berkata, sebelum ini juga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperuntukkan RM1.3 juta bagi kerja membaik pulih PPS, 3,000 kit makanan kering yang diagihkan ke depoh-depoh diselia Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan 1,600 aset seperti bot dan trak.

Di samping itu, seramai 6,500 anggota daripada pasukan penyelamat di negeri itu turut diatur gerak bagi menghadapi Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh, tambahnya.

“Kerjasama kerajaan pusat dan kerajaan negeri sangat perlu dalam memastikan kebajikan serta keselamatan rakyat di negeri ini diutamakan.

“Apa yang paling penting sekarang ini adalah peranan semua pihak yang perlu sentiasa waspada dengan situasi semasa dan patuh dengan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa jika dikehendaki berpindah ke PPS, terutamanya penduduk di kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Menurut aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah tertinggi mangsa banjir di Kelantan direkodkan pada 20 Dis lepas, melibatkan seramai 3,801 orang daripada 1,098 keluarga di 57 PPS membabitkan lima jajahan, iaitu Kuala Krai, Gua Musang, Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.