
JKM memaklumkan penempatan dan pengurusan mangsa banjir kampung itu pada awalnya diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tadom.
“Bagaimanapun selepas PPS itu dinaiki air, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) menasihatkan dan meminta mangsa berpindah ke PPS SK Labohan Dagang untuk keselamatan.
“PKOB akur dengan keputusan penduduk Orang Asli untuk tidak berpindah ke PPS yang disediakan, sebaliknya meminta kekal berada di sekitar kampung.
“Susulan itu, Tadom Hill Resorts telah menyediakan khemah untuk penempatan sementara mereka,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut jabatan itu, JKM Kuala Langat menguruskan pendaftaran mangsa dan menyalurkan segala keperluan asas dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai.
JKM Kuala Langat turut mengagihkan bantuan bekalan makanan dan barangan keperluan asas termasuk toto, kain batik, kain pelikat dan air mineral seperti yang diberikan di PPS lain.
Menurut JKM, pihaknya tidak pernah memilih kasih dalam berdepan situasi getir seperti banjir selain sentiasa bekerjasama dengan JAKOA untuk menangani permasalahan Orang Asli.