Banjir: Bantuan wang ihsan RM1,000 diperluas untuk setiap ketua isi rumah terjejas

Banjir: Bantuan wang ihsan RM1,000 diperluas untuk setiap ketua isi rumah terjejas

Ini diberi bukan sahaja untuk ketua isi rumah di pusat pemindahan sementara tetapi turut diperluas kepada ketua isi rumah yang tidak berpindah ke pusat tersebut.

Berikutan penambahbaikan itu, mangsa banjir boleh menuntut bantuan wang ihsan setiap kali bencana menimpa, manakala bantuan kematian kepada waris mangsa dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.
KUALA LUMPUR:
Kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) untuk mangsa banjir akibat monsun timur laut kini ditingkatkan kepada RM1,000 daripada RM500 bagi setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat bencana itu, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Menurutnya, sejajar dengan pengumuman oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, jumlah BWI tersebut diberi bukan sahaja untuk ketua isi rumah di pusat pemindahan sementara (PPS) tetapi turut diperluas kepada ketua isi rumah yang tidak berpindah ke pusat tersebut.

“(Berikutan penambahbaikan ini), mangsa boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali semasa monsun terbabit manakala bantuan kematian kepada waris mangsa dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan kemas kini Kementerian Kewangan hari ini yang menyenaraikan peruntukan dan langkah tambahan diambil kerajaan bagi menangani banjir pada tahun ini.

Dalam pada itu, kementerian itu berkata, bagi menyegerakan pemberian BWI kepada mangsa banjir, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada 24 Dis, 2021, telah menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM26.9 juta kepada semua negeri yang terjejas.

“Selaras dengan penambahbaikan BWI, Kementerian Kewangan akan memastikan NADMA mendapat peruntukan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan sebenar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.