
Menterinya, Annuar Musa, berkata daripada jumlah itu sebanyak 57 menara sudah dibaik pulih dan 11 lagi memerlukan sedikit masa disebabkan beberapa faktor.
“Antara faktornya ialah jalan terputus, tiada bekalan elektrik selain kabel fiber optik mengalami kerosakan teruk.
“Kita menjangkakan dalam tempoh 10 hari lagi semua 11 menara berkenaan dapat dipulihkan,” katanya pada sidang media di Balai Raya Kampung Chennah.
Terdahulu, KKMM melalui Sukarelawan Komuniti Keluarga Malaysia (KKMM) dengan pelbagai badan bukan kerajaan, menyampaikan sumbangan kepada 600 mangsa banjir di Kampung Chennah.
Hadir sama Ahli Parlimen Jelebu yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Jalaluddin Alias.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KKMM Mohammad Mentek, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Mokhtar Hussain serta ketua jabatan dan agensi KKMM.
Dalam pada itu, beliau berkata lebih 70% daripada 1,000 menara telekomunikasi di seluruh negara yang rosak akibat banjir sudah dipulihkan.
Annuar berkata, ketika ini kakitangan syarikat telekomunikasi bekerja 24 jam bagi memastikan liputan komunikasi dapat dipulihkan minggu depan.
“Kos pembaikan menara komunikasi yang rosak dianggarkan berjumlah ratusan juta ringgit,” katanya.