
Ketua Penerangannya, Awang Ahmad Sah Awang Sahari berkata, andaian pelbagai pihak kebelakangan ini mengenai kemungkinan penjajaran baharu politik Sabah itu tidak akan berlaku.
Beliau berkata, partinya menafikan wujud rundingan dengan mana-mana parti politik untuk menubuhkan kerajaan baharu di Sabah.
“Oleh kerana banyak andaian yang dikeluarkan penulis blog dan penganalisis politik, perlu saya tegaskan bahawa Warisan tidak berunding atau berbincang dengan mana-mana parti politik termasuk Umno untuk menubuhkan kerajaan Sabah yang baharu,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas itu menegaskan, Warisan adalah parti pembangkang yang fokus dalam perjuangan untuk kebaikan rakyat Sabah dan Malaysia serta mahu meletakkan fungsi kerajaan ke landasan yang betul dan mematuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selain menghapuskan rasuah.
“Warisan komited dalam perjuangan ini dan akan bekerja keras agar rakyat memahami dan menyokong perjuangan parti ini,” katanya.
Pada PRN Sabah tahun lalu, Warisan Plus terdiri daripada DAP, PKR da UPKO menang 32 kerusi. Warisan menang 23 kerusi, DAP (6), PKR (2) dan UPKO (1).
Namun parti pimpinan Shafie Apdal itu kini mempunyai 19 ADUN, selepas tiga daripadanya keluar parti manakala ADUN Bugaya meninggal dunia.