
Bukan mendermakan sekadar permainan atau gajet, segelintir memilih menghabiskan hari sambutan Krismas dengan cara yang lebih bermakna.
Di Gurdwara Sahib Petaling Jaya, FMT menemui beberapa penganut Kristian yang menghabiskan hari keagamaan mereka itu dengan menyediakan bantuan untuk mangsa banjir yang membadai beberapa negeri baru-baru ini.
Graduan baharu, May menghabiskan masa membungkus dan menyediakan peralatan penjagaan kesihatan untuk dihantar kepada mangsa banjir.
“Saya rasa ini sesuatu yang lebih bermakna, jadi memilih untuk turun menghulurkan bantuan,” katanya menceritakan keputusannya menghabiskan sambutan Krismas di Gurdwara.
Seorang lagi yang dikenali sebagai Raymond berkata menyumbangkan tenaganya pada Krismas mencetuskan semangat perkongsian yang begitu sinonim dengan perayaan itu.
“Memang terasa semangat perpaduan yang hebat di sini dalam kalangan semua sukarelawan,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Gurdwara, Jasbir Kaur berkata, sambutan sepanjang minggu lalu amat menggalakkan.
“Jika anda lihat di luar hari ini, ada lebih seribu orang, tak kira India, Melayu, Cina, malah kanak-kanak turut membantu. Ia memang usaha komuniti sejati.
“Sepanjang tempoh perayaan ini, ramai mengambil cuti tahunan dan memilih untuk menghabiskannya di sini daripada sekadar berehat di rumah. Menyediakan dan membungkus makanan, memasukkan ke dalam trak untuk penghantaran, semuanya begitu baik hati meluangkan masa bersama kami.”
Kuldip Singh, seorang daripada ketua penyelaras menghantar bekalan ke kawasan banjir, berkata sedikit kesesakan lalu lintas berlaku di luar premis itu hampir setiap malam, dengan kereta beratur untuk menghantar sumbangan.
“Kami sangat berbesar hati dengan sokongan yang diterima daripada semua sukarelawan. Ini termasuk ratusan pemilik pacuan empat roda yang bermurah hati menggunakan kenderaan masing-masing tanpa menuntut duit petrol atau tol langsung. Mereka bergerak sejauh Bentong dan Karak untuk menghantar bekalan.”
Gurdwara itu boleh dihubungi di 010-2174556 untuk maklumat lanjut mengenai sumbangan yang boleh diberikan. Laman media sosialnya juga sering dikemas kini dengan maklumat barangan yang semakin berkurangan.