Baik pulih SMK Sri Muda, 8 lagi sekolah perlu disegerakan, kata menteri

Baik pulih SMK Sri Muda, 8 lagi sekolah perlu disegerakan, kata menteri

KPM komited memastikan semua sekolah yang terlibat dalam kejadian banjir besar baru-baru ini diberi perhatian segera.

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata, seramai 34 orang guru sekolah itu turut terkesan akibat banjir. (gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin meminta supaya kerja baik pulih di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda serta lapan lagi sekolah di kawasan sekitar yang terjejas akibat banjir segera dilakukan.

Beliau melalui hantaran Facebook rasminya memaklumkan rentetan tinjauan yang dilakukan oleh beliau petang semalam ke sekolah tersebut, selain bilik darjah, bengkel, makmal sains dan makmal komputer antara bilik khas lain yang rosak teruk adalah selepas ditenggelami air akibat banjir besar minggu lepas.

“Seramai 34 orang guru sekolah ini juga turut terkesan akibat banjir,” katanya melalui hantaran itu.

Turut serta dalam tinjauan tersebut Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan Kementerian Pendidikan (KPM) Noor Azman Abdul Rahman.

Beliau berkata, KPM komited memastikan semua sekolah yang terlibat dalam kejadian banjir besar baru-baru ini diberi perhatian segera untuk memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan selesa kepada anak-anak generasi pewaris negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.