Individu pulang umrah wajib pakai gelang peranti pengesanan digital, kata KJ

Individu pulang umrah wajib pakai gelang peranti pengesanan digital, kata KJ

Ini berikutan terdapat 30 daripada 49 varian baharu, Omicron di Malaysia dikesan antara 23 dan 24 Dis merupakan kes import dari Arab Saudi.

Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia akan memasukkan Arab Saudi dalam senarai negara berisiko tinggi bersama sembilan negara lain iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat, Denmark, Australia, Perancis, Norway, Kanada, India dan Nigeria. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Individu yang menjalani tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari selepas pulang daripada menunaikan umrah diwajibkan memakai gelang peranti pengesanan digital bermula minggu depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pelaksanaan itu dibuat berikutan terdapat 30 daripada 49 varian baharu, Omicron di Malaysia yang dikesan antara 23 dan 24 Dis merupakan kes import dari Arab Saudi.

“Kami dapati semua mereka yang tiba dari Arab Saudi bermula 13 hingga 17 Dis lalu tidak mematuhi arahan pengasingan dengan ahli keluarga. Mereka berjumpa sesama mereka (ahli keluarga) dan menerima tetamu.

“Mungkin tetamu atau ahli keluarga datang menziarahi untuk bersalam ambil berkat tetapi ‘salam Omicron’,” katanya dipetik Bernama, pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, kegagalan mematuhi arahan kuarantin berpontensi mengakibatkan peningkatan penularan jangkitan varian tersebut dalam negara.

“Saya harap perkara ini (arahan kuarantin) dipatuhi. Ini adalah serius dan kami bagi kemudahan untuk kuarantin di rumah untuk jimatkan kos, tidak perlu tinggal di hotel, jadi kena patuh,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 62 kes varian Omicron direkodkan di negara ini yang terdiri daripada 61 kes import dan satu kes dipercayai kes tempatan.

Susulan situasi tersebut, Khairy berkata, Malaysia akan memasukkan Arab Saudi dalam senarai negara berisiko tinggi bersama sembilan negara lain iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat, Denmark, Australia, Perancis, Norway, Kanada, India dan Nigeria.

Memperincikan perkara itu, Khairy berkata, kerajaan amat menggalakkan individu yang berhasrat melakukan perjalanan ke luar negara supaya mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.