‘Beritahu kalau ada aduan pilih kasih, kita turun’, kata KP Bomba

‘Beritahu kalau ada aduan pilih kasih, kita turun’, kata KP Bomba

Mohammad Hamdan Wahid menegaskan bantuan diberikan tanpa mengira bangsa atau latar belakang.

Pusat Kawalan Operasi Bencana Taman Sri Muda tidak akan ditutup sehingga memastikan keadaan mangsa banjir betul-betul sudah pulih, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohammad Hamdan Wahid. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Jabatan Bomba dan Penyelamat menegaskan pihaknya tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohammad Hamdan Wahid berkata sekiranya terdapat aduan mengatakan pihaknya pilih kasih, beliau sendiri akan turun mengenal pasti kes tersebut.

“Bantuan ini (dari pihak bomba), kita tak kira siapa latar belakang dia. Sama ada agama, bangsa dan sebagainya.

“Datanglah dekat sini (Pusat Kawalan Operasi Bencana Taman Sri Muda). Kalau kita dapati ada bahawa aduan yang mengatakan sikap pilih kasih beritahu saya, kita akan turun bersama Ketua Pengarah NADMA (Aminuddin Hassim).

“Kita akan kenal pasti kes-kes seperti ini,” katanya sidang media Ops Banjir di Taman Sri Muda.

Hamdan menegaskan Pusat Kawalan Operasi Bencana Taman Sri Muda tidak akan ditutup sehingga memastikan keadaan mangsa-mangsa banjir betul-betul sudah pulih.

Beliau berkata antara bantuan pihak bomba untuk pascabanjir adalah seperti kerja-kerja mencuci, membekal air untuk kerja mencuci, selain penghantaran bekalan makanan dan barangan keperluan.

“Kita juga guna logistik darat dan udara bagi pascabanjir.

“Kita akan beri bantuan terutama pada mangsa alami kerugian, kerosakan dan nak memulakan hidup baru,” katanya.

Hamdan juga berkata pihak telah bersiap sedia untuk gelombang kedua hadapi banjir.

Katanya, antara kawasan menjadi tumpuan untuk berjaga-jaga adalah di Pantai Timur, Utara dan Pantai Barat Semenanjung, selain Pantai Timur Sabah dan Sarawak.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan cuaca signifikan terbaru bagi tarikh 25 hingga 31 Dis ini yang akan berlaku di kawasan timur Sabah, barat Sarawak, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Menurut ciapan Twitter MetMalaysia, luruan monsun dijangka berlaku pada 27 hingga 31 Disember dan pada masa sama terdapat sistem cuaca tekanan redang di Laut China Selatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.