Ahli Parlimen Hulu Langat disiasat langgar perintah kuarantin

Ahli Parlimen Hulu Langat disiasat langgar perintah kuarantin

Hasanuddin Mohd Yunus dilaporkan telah turun padang melakukan kerja-kerja bantuan banjir di kawasannya selepas pulang dari perjalanan ke luar negara.

Hasanuddin Mohd Yunus melawat mangsa banjir di kawasannya selepas pulang daripada menghadiri persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki dan Iran. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat sama ada Ahli Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus melanggar perintah kuarantin di rumahnya selepas pulang dari perjalanan rasmi ke luar negara.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, Hasanuddin telah menghadiri persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki lebih awal antara 8 hingga 12 Dis bersama tiga wakil rakyat lain dan telah memohon pengecualian kuarantin.

Khairy berkata demikian ketika ditanya sama ada Hasanuddin melanggar perintah itu selepas beliau dilaporkan dikesan turun padang melakukan kerja-kerja bantuan banjir di kawasannya.

Beliau berkata, pengecualian itu pada mulanya diberikan kerana protokol ujian dan pelepasan untuk perjalanan rasmi, bagaimanapun Pusat Tindak Balas dan Kesiapsiagaan Krisis (CPRC) kemudiannya mengeluarkan perintah pengawasan rumah (HSO) kepada Hasanuddin pada 20 Dis.

“Tetapi (kerana) dia tiba pada 22 Dis, pengecualian awal telah ditolak kerana dia diminta melakukan kuarantin di rumah – itu adalah surat-menyurat terakhir yang kami ada dengannya.

“Jadi kami kini sedang menyiasat kes itu – dia pergi ke Turki dan kemudian ke Iran dan Pakistan atau di mana sahaja dia berada, dan mengapa selepas menerima HSO pada 20 Dis, dia melanggar kuarantinnya.

“Sudah tentu, jika dia melanggar kuarantin, kami hanya boleh denda RM1,000,” kata Khairy pada sidang media di Kementerian Kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.