Pelajar UIA bantu bersihkan kuil Hindu di Klang

Pelajar UIA bantu bersihkan kuil Hindu di Klang

25 sukarelawan daripada PBM dan penuntut Universiti Islam Antarabangsa, bersama membersihkan kuil yang dilanda banjir, di Klang.

Kuil Sri Maha Mariamman di Taman Klang Utama teruk terjejas banjir baru-baru ini dan diliputi lumpur, sebelum dibersihkan.
PETALING JAYA:
Video tular memaparkan sekumpulan anak muda berbilang kaum membersihkan sebuah kuil Hindu di Taman Klang Utama menyentuh hati orang ramai.

Anak muda dalam video berkenaan terdiri daripada sukarelawan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak.

Penyelaras PBM bagi Parlimen Klang, Nallan Dhanabalan berkata, wakil Kuil Sri Maha Mariamman di Taman Klang Utama menghubungi mereka untuk mendapatkan bantuan.

Walaupun mempunyai pasukan sukarelawan sendiri, lelaki berusia 48 tahun itu tersentuh dengan maklum balas beberapa pelajar UIA yang turut serta membersihkan kuil terbabit yang dinaiki air akibat banjir minggu lalu.

Sebahagian daripada 25 sukarelawan PBM dan pelajar UIA berganding bahu membersihkan sebuah kuil Hindu di Klang.

“Saya secara peribadi tersentuh dengan maklum balas pelajar universiti itu. Mereka dengan rela membersihkan seluruh kawasan berkenaan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, 25 sukarelawan itu berusia 18 hingga 35 tahun, dengan seorang lagi berusia 62 tahun.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya yakin kita perlu bersatu tanpa mengira kaum dan agama, terutama ketika pandemik dan banjir.

“Kita sepatutnya mengetepikan kaum serta agama, dan mara sebagai sebuah negara.”

Seorang sukarelawan membersihkan Kuih Sri Maha Mariamman di Taman Klang Utama.

Nallan berkata, mereka menghabiskan dua jam pagi tadi untuk membersihkan kuil itu.

“Ia teruk terjejas akibat banjir baru-baru ini. Semua perabot rosak sepenuhnya dan diliputi lumpur.”

Operasi pembersihan itu sebahagian daripada usaha PBM dalam misi membersihkan kediaman, sekolah dan rumah ibadat di Klang, Hulu Langat, Shah Alam, Kota Raja serta Puchong yang dilanda banjir minggu lalu.

Video yang dimuat naik beliau jelas menyentuh hati ramai orang, dengan lebih 355,800 tontotan, 47,900 “likes” dan 3,800 ulasan.

Ramai warganet memuji dan mengucapkan terima kasih atas usaha mereka.

Pengguna OtamBlurrrrr berkata: “Saya mahu menangis! Sayang rakyat Malaysia”, manakala pengguna bernama Sha Sha berkata: “Inilah rakyat Malaysia pada 80-an dan saya sangat gembira melihatnya semula.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.