Lebuhraya Karak, LPT1 dibuka secara berperingkat

Lebuhraya Karak, LPT1 dibuka secara berperingkat

Bagaimanapun, laluan di KM76 hingga KM78.8 di Karak masih ditutup untuk kerja pembersihan.

Kerja pembersihan dan membaik pulih di sepanjang Lebuhraya KL-Karak yang terjejas akibat banjir hampir selesai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lebuhraya KL Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dibuka semula secara berperingkat mulai 6 petang tadi, selepas kerja pembaikan dan pembersihan selesai.

ANIH Berhad, pengendali KLK dan LPT1 dalam kenyataan memaklumkan kerja pembersihan dan membaik pulih di sepanjang KLK yang terjejas akibat banjir hampir selesai.

Katanya, lebuh raya itu dibuka secara berperingkat mulai 6 petang tadi bagi membolehkan pengguna sampai ke destinasi dengan selamat.

“Sungguhpun begitu, pengguna dinasihati berhati-hati dan mematuhi tanda arah apabila menghampiri laluan kontra di Sungai Dua, iaitu di KM74.8 hingga KM77.3 yang tetap dibuka demi keselesaan dan keselamatan.

“Pengguna yang ingin ke laluan Pekan Karak perlu membuat pusingan ‘U-turn’ sebelum Tol Karak dan seterusnya keluar di susur keluar menghala Karak,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Katanya, laluan di KM76 hingga KM78.8 di Karak masih ditutup untuk kerja pembersihan.

Bagi laluan menghala ke Kuala Lumpur pula, hanya lorong laju akan dibuka, iaitu di Bentong mulai KM66 hingga KM70.

Semua pengguna dinasihat mematuhi arahan pihak berkuasa mahupun petugas lebuh raya.

Katanya, ANIH sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan dan komited memastikan keselamatan serta keselesaan pengguna lebuh raya sentiasa menjadi keutamaan syarikat itu.

Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan melayari laman media sosial Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi Hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT-Line di 09-5479111 atau 1-700-818-700.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.