‘Haiwan peliharaan juga ahli keluarga’, mangsa sanggup redah banjir selamatkan kucing, anjing

‘Haiwan peliharaan juga ahli keluarga’, mangsa sanggup redah banjir selamatkan kucing, anjing

Klip video memaparkan usaha mereka membanjiri media sosial tatkala operasi menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap sedang dilaksanakan pelbagai pihak.

Dua sahabat menyelamatkan kucing peliharaan mereka di Kampung Chemperai, Dengkil, Sabtu lepas. Ada mangsa banjir yang sanggup meredah air paras pinggang bagi menyelamatkan haiwan peliharaan yang dianggap ahli keluarga. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
“Mereka juga ahli keluarga kami.” Ungkapan ringkas yang cukup untuk menjelaskan tindakan mangsa banjir dan individu lain yang sanggup merisikokan keselamatan diri bagi menyelamatkan “anak bulus” atau haiwan peliharaan dan jalanan daripada bencana itu.

Klip video yang memaparkan usaha mereka turut membanjiri media sosial tatkala operasi menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap, khususnya di Lembah Klang pada hujung minggu lepas, dilaksanakan pelbagai pihak.

Bagi Alia Zulaikha Mahmud, 21 dan adiknya Nur Hazirah, 14, pengalaman menyelamatkan 11 ekor kucing peliharaan yang sebelum itu terpaksa ditinggalkan di rumah mereka di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor, adalah antara yang sukar dilupakan.

“Kami terpaksa meredah banjir separas pinggang untuk selamatkan 11 ekor kucing kami, namun hanya sembilan sahaja selamat, dua lagi mati dihempap almari yang terbalik akibat dilanda arus deras air bah,” kata Nur Hazirah.

Ceritanya lagi, dalam kejadian Sabtu lepas, air naik mendadak hingga ke paras dada orang dewasa menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa menyelamatkan diri terlebih dahulu dan meninggalkan kesemua kucing mereka di atas almari.

“Apabila banjir mulai surut tiga hari kemudian, kami minta bantuan bot pihak bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menyelamatkan kucing dan harta benda yang lain,” tambah Alia.

Menurut adik-beradik itu, kesemua kucing mereka kini “menumpang” di rumah rakan-rakan.

“Kami bersyukur kerana kesemua ahli keluarga, termasuk kucing-kucing selamat. Mungkin bagi sesetengah orang, kucing-kucing itu hanyalah haiwan, tetapi bagi kami, mereka sebahagian daripada keluarga kami,” kata Alia.

Seekor anjing yang terperangkap dalam banjir menunggu untuk diselamatkan di Kampung Gong Terap. (Gambar Bernama)

Sementara itu, seorang lagi penduduk Taman Sri Muda, Shirley Lim, 29, berkata, pada awalnya, beliau teragak-agak untuk membawa anjingnya menaiki bot penyelamat ke pusat pemindahan kerana tidak mahu dianggap mementingkan diri.

“Ketika itu dalam kepala saya, saya hanya mahu menyelamatkan ibu bapa, adik perempuan dan Loki (anjing), yang lain sudah tidak kisah. Saya minta pasukan penyelamat membawa ahli keluarga saya dahulu sementara saya menjaga Loki untuk menunggu bot lain.

“Namun pasukan penyelamat tidak kisah dan menyuruh saya membawa Loki bersama walaupun saya berasa serba salah, tetapi syukur kami sekeluarga termasuk Loki dapat dibawa ke tempat selamat,” katanya.

Sambung wanita itu, ibu bapa dan adik perempuannya ditempatkan di pusat pemindahan banjir di SJK(T) Ladang Emerald, manakala beliau menumpang di rumah rakannya di Kota Kemuning kerana hendak menjaga Loki.

“Saya tidak mahu membawa anjing saya ke tempat pemindahan, risau dia akan bising dan buang air merata-rata. Saya perlu mengasingkannya daripada orang ramai demi menjaga sensitiviti,” katanya.

Bercerita lanjut, Lim berkata, pada Selasa, beliau diberitahu oleh sukarelawan tentang klinik bergerak haiwan yang menyediakan rawatan percuma dan makanan untuk haiwan terjejas banjir di Kota Kemuning.

“Ketika itu Loki sudah tiga hari tidak makan kerana makanannya dihanyutkan arus banjir. Mendengar khabar tersebut, saya menumpang kereta rakan dan bergegas membawa Loki ke klinik bergerak berkenaan,” katanya.

Klinik bergerak untuk haiwan itu yang beroperasi di depan restoran makanan segera KFC/Pizza Hut di Kota Kemuning, dikendalikan oleh Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) dengan kerjasama Persatuan Doktor Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor.

Menurut pensyarah kanan di Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia Dr Farina Mustaffa Kamal, inisiatif itu dijalankan bermula 21 Dis hingga 27 Dis ini.

“Kami menerima semua haiwan peliharaan, bukan sahaja anjing dan kucing tetapi juga ternakan seperti ayam, angsa ataupun itik yang diselamatkan daripada banjir,” katanya yang juga exco MAVMA.

Bercerita tentang keadaan haiwan terbabit, Farina berkata, kebanyakannya tiba di tempat rawatan dalam keadaan kesejukan dan kelaparan dengan ada yang diselamatkan selepas terjatuh ke dalam air dan ada juga yang sudah terendam dalam tempoh yang lama.

“Kami berikan mereka rawatan asas sebelum dipindahkan ke tempat selamat. Namun jika ada yang memerlukan rawatan lanjut atau kritikal, kami akan sarankan ia dihantar ke klinik haiwan berdekatan kerana kami hanya sediakan rawatan asas,” jelasnya.

Sementara itu, Persatuan Haiwan Malaysia tampil melancarkan tabung makanan haiwan untuk anjing dan kucing, sama ada peliharaan ataupun jalanan, di kawasan yang terjejas banjir.

Pemilik haiwan peliharaan juga dinasihatkan agar melepaskan haiwan kesayangan mereka ketika kecemasan agar haiwan terbabit mudah menyelamatkan diri dan kemudian diselamatkan oleh pasukan penyelamat dan sukarelawan.

“Mana-mana pemilik haiwan peliharaan yang memerlukan bantuan makanan ataupun sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh hubungi kami menerusi WhatsApp di talian 0105394749,” kata Presidennya, Arie Dwi Andika.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.