‘Yang selamat hanya kucing saya,’ penduduk Taman Sri Muda bingung tangani kemusnahan rumah dan harta benda

‘Yang selamat hanya kucing saya,’ penduduk Taman Sri Muda bingung tangani kemusnahan rumah dan harta benda

Ramai penduduk di Taman Sri Muda, Shah Alam menanggung kerugian ribuan ringgit akibat sekurang-kurangnya satu tingkat rumah mereka digenangi air.

Izani Hamzah berkata, beliau mengakui memerlukan masa yang lama untuk memulihkan hidupnya seperti sedia kala.
SHAH ALAM:
“Rumah saya tinggal bumbung sahaja, semua barang dalam rumah kena buang,” Mohd Izani Hamzah, 36, tenang menceritakan keadaan rumahnya di Taman Sri Muda yang ditenggelami banjir.

Namun nada tenang itu tidak dapat menyorok kebimbangan Izani mencari ribuan ringgit yang diperlukan untuk membina semula kehidupan beliau sekeluarga daripada kemusnahan akibat banjir paling dahsyat yang melanda Shah Alam minggu lalu.

“Rumah saya (tenggelam) ke paras bumbung. Ia tenggelam habis. Allahuakbar. Tadi baharu lepas tengok, apa yang boleh selamat hanya kucing saya sahaja. Saya tak tahu macam mana dia boleh panjat bumbung. Majoriti semua barang dalam rumah tu memang semua kena buang,” katanya kepada FMT.

Sebahagian rumah yang masih digenangi air, meskipun sudah memasuki hari kelima pada Rabu.

Beliau bersyukur kerana sempat menyelamatkan anak dan isteri dari rumahnya yang terletak berhampiran Sungai Klang.

Namun Izani mengakui, dia memerlukan masa yang lama untuk memulihkan hidupnya seperti sedia kala dan berat mulut untuk menceritakan masalah kewangannya.

Tidak semua mangsa banjir di Taman Sri Muda tenang dan sabar seperti Izani. Ada yang marah dan ramai juga tidak puas hati terhadap agensi awam.

Rizal Abdul Mutalib, penghuni Taman Sri Muda lebih 36 tahun, mengaitkan kerosakan rumah beliau dan jiran-jirannya kepada prestasi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Rizal Abdul Mutalib berkata, penduduk Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam sudah terlalu muak dengan kejadian banjir di kawasan mereka.

“YB (ADUN Kota Kemuning V Ganabatirau) sudah bertekak dengan JPS sebelum ini. Kita tak nak masuk campur pun sebenarnya. Tapi bila jadi macam ni (banjir), kerugian tu banyak dan bukan mereka yang akan tanggung. Kita yang akan tanggung sendiri,” katanya.

Beliau merujuk kepada laporan Ganabatirau yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai JPS sebelum ini kerana gagal meletakkan pam berkuasa tinggi di kunci air Taman Sri Muda sebagaimana yang dipersetujui.

Ditanya adakah bantuan RM1,000 daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk mangsa banjir memadai, Rizal menggeleng kepala.

“Tuntutan RM1,000. Kalau setakat RM1,000, boleh buat apa? Orang hilang satu rumah. Bukan sikit (kerugian). Esok lusa, kami kerja boleh dapat RM1,000 tu. Tapi boleh ke RM1,000 baiki balik apa yang kami hilang?”

Masih banyak kereta tersadai di tepi jalan berhadapan pasar raya borong Mydin yang dipecah masuk oleh mangsa banjir.

Menurut Rizal, penduduk Sri Muda seperti beliau sudah terlalu muak dengan kekerapan banjir akibat kegagalan rumah pam berfungsi untuk mengalirkan air takungan ke dalam Sungai Klang.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menggerakkan segera 20 aset pam mudah alih ke kawasan terjejas banjir, khususnya di Sri Muda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.