Permohonan BWI tak pernah tutup, kerajaan bayar setiap kali bencana, kata PM

Permohonan BWI tak pernah tutup, kerajaan bayar setiap kali bencana, kata PM

Ismail Sabri Yaakob menjawab ciapan Twitter Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang mendakwa kerajaan mengumumkan bantuan kewangan banjir RM1,000 tanpa butiran lengkap dan tiba-tiba menutup permohonan esok.

Bantuan Wang Ihsan dibayar setiap kali rakyat ditimpa bencana, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menjawab ciapan Twitter Hannah Yeoh.
PETALING JAYA:
Permohonan Bantuan Wang Ihsan (BWI) tidak pernah ditutup, malah kerajaan membayarnya setiap kali rakyat ditimpa bencana, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

“Permohonan BWI tidak pernah ditutup. Malah, kerajaan akan bayar setiap kali mereka ditimpa bencana. Kalau dua kali dilanda bencana, dua kalilah kerajaan akan bayar. Itu arahan saya,” tulis Ismail di Twitternya hari ini.

Hantaran beliau sebagai menjawab ciapan Twitter Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang mendakwa kerajaan mengumumkan bantuan kewangan banjir RM1,000 tanpa butiran lengkap dan menutup permohonan secara tiba-tiba esok.

Justeru, Perdana Menteri meminta Yeoh menyemak fakta terlebih dahulu agar tidak mengelirukan rakyat.

“Baik YB ‘fact check’ (semak fakta) dulu, jangan terus percaya pada maklumat WhatsApp. Tindakan YB mengelirukan rakyat,” menurut Ismail.

Kerajaan sebelum ini bersetuju menaikkan kadar BWI daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau lain-lain bencana yang diisytiharkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

Inisiatif BWI itu dijangka meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah, melibatkan peruntukan lebih RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

Bagaimanapun, reaksi Ismail itu tidak diterima baik Hannah, sambil mengatakan Perdana Menteri perlu terlebih dulu memeriksa dengan semua menteri dan lantikan politik mereka sebelum memberikan ‘nasihat’ kepada dirinya.

“Saya dah berikan bukti kepada media. Saya selalu ‘check’ (periksa) sebelum tweet. Lebih baik PM ‘check’ dulu dengan semua menteri dan lantikan politik mereka sebelum beri nasihat kepada saya. Terima kasih PM Kerajaan Prihatin,” katanya di Twitter.

“Esok ‘Christmas Eve’. Ini nak betul-betul bantu penduduk atau buat kerja bagai melepaskan batuk di tangga?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.