Peniaga jangan ambil kesempatan, kami mengawasi, kata Nanta

Peniaga jangan ambil kesempatan, kami mengawasi, kata Nanta

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan mengambil tindakan jika ada yang mengambil kesempatan situasi banjir dengan menaikkan harga barangan asas.

Kementerian akan terus mencari jalan bagi membantu mereka yang terkesan akibat banjir, kata Alexander Nanta Linggi.
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran tindakan akan diambil terhadap peniaga jika mengambil kesempatan daripada situasi banjir dengan menaikkan harga barangan asas.

Menterinya, Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya sentiasa mengawasi dan memantau harga barangan, terutama ketika musim banjir.

“Kami akan mengambil tindakan undang-undang jika mereka didapati berbuat demikian. Buat masa ini, kami belum menerima apa-apa laporan kenaikan harga.

“Kami ada kaedah sendiri untuk menentukan sama ada peniaga tersebut melanggar skim harga atau sebaliknya. Terdapat beberapa kenaikan (harga) bagi barangan tertentu, tetapi semuanya berada dalam lingkungan had yang dibenarkan,” katanya menurut laporan Bernama, selepas majlis penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Lumpur.

Beliau menambah, kementeriannya memperkenalkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas yang berkuat kuasa hari ini hingga 31 Dis.

Nanta berkata, kementeriannya akan terus mencari jalan bagi membantu mereka yang terkesan akibat banjir.

“Kami mempunyai banyak sumber sumbangan daripada kilang dan pasar raya. Malah ketika tiada bencana alam pun, kami masih boleh mengumpulkan bantuan. Kami akan gunakan bantuan itu sebagai sebahagian daripada program bank makanan bagi membantu mereka yang memerlukan barangan asas terutama makanan,” katanya.

Terdahulu, Nanta menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM80,000 daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kepada penduduk daerah Hulu Langat, Shah Alam dan Puchong termasuk pekerja MyIPO yang terkesan akibat bencana banjir.

Penyaluran sumbangan ini adalah bagi meringankan beban mangsa banjir yang terpaksa menanggung kerugian susulan kemusnahan harta benda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.