Nak saya letak jawatan boleh, bubar NADMA pun boleh, tapi apa solusinya, Latiff jawab pengkritik

Nak saya letak jawatan boleh, bubar NADMA pun boleh, tapi apa solusinya, Latiff jawab pengkritik

Abdul Latiff Ahmad berkata beliau tidak keberatan meletak jawatan atau NADMA dibubarkan dengan syarat ada penyelesaian yang lebih baik kepada isu pengurusan bencana.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad berkata dia ‘tiada masalah’ untuk meletak jawatan susulan dakwaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah terajunya lembab bertindak membantu mangsa banjir.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad berkata dia “tiada masalah” untuk meletakkan jawatan susulan dakwaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah terajunya lembab bertindak membantu mangsa banjir.

Malah, menurutnya, NADMA sendiri boleh dibubarkan dengan syarat ada penyelesaian lebih baik kepada isu pengurusan bencana yang semakin mencabar.

“Bubar (NADMA) boleh, saya setuju. Saya letak jawatan (pun) boleh. Saya sudah enam penggal (jadi wakil rakyat). Tiada masalah.

“Tapi apakah solusinya? Kalau kata hendak suruh letak jawatan (semata-mata), negara kita akan bertukar perdana menteri setiap tiga bulan,” kata Ahli Parlimen Mersing itu, menurut Sinar Harian.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengetuai usaha mendepani bencana banjir berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan itu diambil susulan kritikan terhadap kekurangan respon awal daripada NADMA apabila Lembah Kelang dan beberapa negeri dilanda banjir teruk sejak minggu lalu.

Abd Latiff berkata, kenyataannya menghuraikan peranan NADMA yang dibuat di Dewan Rakyat 15 Nov lalu ditular secara luar konteks daripada isu yang dibangkitkan ketika itu.

“Ketika itu banyak soalan yang dibangkitkan mengenai NADMA lambat memproses bantuan. Ingin saya jelaskan bahawa Nadma tidak memproses perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata pegawai daerah seharusnya berfungsi sebagai pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana bagi peringkat daerah bila bencana diisytiharkan.

“Segala pengurusan berkaitan bencana di kawasan terbabit akan diurus oleh pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana peringkat daerah.

“NADMA akan membantu sebagai urus setia kerana agensi ini hanya ada di peringkat persekutuan dan kita tiada kakitangan di peringkat negeri atau daerah,” kata beliau.

Beliau berkata NADMA hanya ada seramai 50 kakitangan bertugas di peringkat pusat dan penglibatan jentera kerajaan negeri dan daerah dalam pengurusan bencana amat penting.

“Kita tidak boleh suruh kerajaan pusat saja mengurus sebab bencana ini buta warna. Kalau nak serah semua sekali kepada pusat tak bolehlah kerana bagi saya apabila berlaku bencana ia perlu dikongsi dari segi pengurusannya.

“Kita ambil contoh, jika pengurusan ini diambil alih oleh pusat, cuba bayangkan bagaimana hendak menguruskan dari segi bantuan kepada mangsa,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.