
Pendakwaan memohon lawatan ke lokasi itu bagi memahami lebih jelas keterangan saksi utama, T Previin.
Ini kerana itu dikatakan lokasi Previin dan Nhaveen diserang empat tertuduh selepas Previin menegur seorang daripada mereka kerana memanggil Nhaveen “pondan”.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Radzi Abdul Hamid mengetuai kumpulan kakitangan mahkamah, jurubahasa, pendakwa dan peguam, serta tertuduh yang bergari ke Jalan Kaki Bukit berhampiran Karpal Singh Learning Centre pada 3.15 petang.
Beliau kemudian mengumumkan perbicaraan bersambung di situ.

Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Abdul Halim kemudian meminta Previin melakonkan semula bagaimana dia dikenakan “headlock” sebbelum diheret di jalan itu dan dicampakkan dari jambatan.
Lawatan mahkamah itu berlangsung selama kira-kira 45 minit.
Terdahulu dalam prosiding di mahkamah, Previin menceritakan kejadian yang membawa kepada serangan terhadap Nhaveen.
J Ragesuthan, S Gokulan, dan dua tertuduh juvana didakwa membunuh Nhaveen pada 19 Jun 2017.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran Karpal Singh Learning Centre, Jalan Kaki Bukit, Gelugor, antara jam 11 malam dan 12 tengah malam.
Perbicaraan bersambung esok.