
Pusat Alam Sekitar Global (GEC) berkata, bencana itu menekankan keperluan mendesak untuk menangani impak perubahan iklim dan kekurangan usaha kesiapsiagaan bencana yang diselaras dengan baik.
“Perubahan iklim global meningkatkan kekerapan ribut di Asia Tenggara menyebabkan hujan melampau dan orang ramai menghadapi risiko teruk banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengarah GEC, Faizal Parish berkata, kegiatan membersih dan menukar status hutan serta tanah gambut yang melindungi bandar dan kampung daripada banjir perlu dihentikan.
“Hutan dan tanah lembap berkesan dalam menyerap hujan dan mengurangkan banjir. Apabila hutan dibersihkan, larian air boleh meningkat lima hingga 10 kali, serta tanah terhakis boleh menyumbat longkang serta sungai.”
GEC turut mencadangkan langkah pencegahan banjir penting lain seperti pembersihan dan menyahlodak sungai serta longkang secara tetap dan melindungi zon penampan atau koridor sungai dengan tidak membenarkan sebarang aktiviti pembangunan.
“Kita juga memerlukan penyelarasan lebih baik dalam kalangan semua pemegang taruh – kerajaan, sektor swasta, masyarakat awam dan rakyat – untuk bekerja secara berkesan ke arah pencegahan dan kesiapsiagaan bencana.”
Katanya, data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan 9% tanah di Malaysia terdedah kepada risiko banjir.
“Walaupun Malaysia mempunyai sistem ramalan dan pemantauan banjir yang baik, isu utama ialah memastikan komunikasi dan penyebaran maklumat yang cepat serta berkesan daripada agensi terbabit kepada orang ramai dan memastikan tindak balas sesuai terhadap amaran.
“Meningkatkan ketahanan rakyat terhadap banjir juga penting. Semua orang perlu memainkan peranan dalam pengurusan banjir, khasnya di peringkat tempatan.”
GEC berkata, menyimpan bekalan kecemasan dan dokumen penting dalam bekas kalis air dalam “grab bag” atau “kit 72 jam” di tingkat atas rumah boleh meningkatkan tahap survival.
“Siren amaran banjir atau amaran telefon juga boleh digunakan untuk memberi amaran kepada orang ramai untuk keluar dengan selamat.”