5 ‘hero’ banting tulang bantu mangsa banjir

5 ‘hero’ banting tulang bantu mangsa banjir

Lima anak muda itu menyelam ke bahagian dapur rumah jiran untuk mengambil makanan yang dalam keadaan baik untuk dihidangkan kepada jiran kelaparan.

Muhd Saiful Izhar bersama rakannya membersihkan barang yang ditenggelami air ketika banjir melanda Taman Sri Muda, Shah Alam Sabtu lalu. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
“Macam hero, dari pagi hingga malam mereka tolong jiran sana sini,” demikian reaksi Noor Marina Zehan Zainal Abidin, 41, apabila ditanya inisiatif sekumpulan lima pemuda bersusah payah memasak dan mengedarkan makanan kepada jiran yang terperangkap dalam banjir baru-baru ini.

Marina seorang daripada jiran yang dibantu Muhd Saiful Izhar, 26, dan empat lagi rakannya berusia 20-an, semasa Taman Sri Muda di sini dilanda banjir teruk sejak 18 Dis lalu, walaupun mereka sendiri terperangkap dalam bencana itu.

“Bersyukur sangat-sangat sebab memang kita orang tengah lapar sangat. Kita mana pandai nak berenang nak cari makanan?” kata wanita itu kepada Bernama ketika ditemui di sini.

Menceritakan pengalaman mengedarkan makanan siap masak kepada jirannya bagi mengalas perut, anak jati dari Taiping, Perak itu yang dua tahun menyewa rumah teres dua tingkat di taman perumahan berkenaan, berkata mereka tidak sanggup melihat jiran kelaparan meminta makanan.

Katanya, beliau dan rakannya yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di sini, meredah air di tingkat bawah rumah sewa mereka untuk mengambil peralatan memasak seperti dapur gas dan tong gas untuk dibawa ke tingkat atas.

Bagi mendapatkan bahan masakan, mereka kemudian menyelam ke bahagian dapur rumah jiran dan mengambil apa sahaja makanan dari dalam peti sejuk yang sedang terapung-apung untuk mengeluarkan sayur dan ayam, selain maggi dan tin sardin serta makanan kering diambil dari kabinet dapur.

“Malam kedua (Ahad) dah banjir teruk dan semua dah kembali lapar.

“Kami kesian mereka kebanyakan orang tua, jadi kami menyelam dan meredah air untuk ke dapur yang airnya sudah mencecah siling untuk ambil peralatan masak. Selepas itu, kami dibenarkan masuk ke dapur rumah jiran untuk cari apa yang ada dengan cara menyelam juga.”

Saiful berkata, beliau dan rakannya bergilir-gilir memasak nasi goreng dan maggi dua kali sehari di sebuah ruang kecil di bahagian luar tingkat atas rumah teres yang dijadikan “dapur” dan tempat lepak mereka semasa terperangkap dalam banjir.

Katanya, mereka kemudian mengedarkan juadah yang siap dimasak itu dengan berenang ke rumah jiran dengan meletakkan makanan itu di atas tilam udara.

“Kami berenang sambil mengedarkan makanan, ada yang kami terpaksa panjat ikut bumbung,” katanya sambil membersihkan perkarangan rumahnya yang ditenggelami air hingga paras siling tingkat bawah rumah teres berkenaan.

Bukan sahaja memasak untuk jiran, Saiful dan seorang lagi rakannya, Mohd Syahrul Nizam Mohd Shafawi, 20, turut membantu menyelamatkan seorang lelaki warga emas daripada lemas ketika mangsa berusaha menyelamatkan isterinya.

“Uncle tu guna perabot kayu untuk apungkan diri, isterinya dalam tong air.

“Kita tarik uncle tu dengan isteri dia ke pos kawalan polis, kita berenang sambil tarik,” kata Saiful yang berkebolehan berenang kerana sentiasa mandi sungai dan berdepan situasi banjir sejak kecil lagi.

“Saya orang kampung, dari kecil dah mandi sungai dan rumah juga memang selalu banjir. Alhamdulillah, saya tak minta jiran-jiran ucap terima kasih pun. Saya cuma lega mereka dah keluar, rasa tanggungjawab dah kurang sebab tahu mereka dah selamat,” katanya sambil tersenyum mengenangkan detik bot bantuan tiba pada malam keempat (21 Dis).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.