37 maut, 10 masih hilang akibat banjir setakat ini, kata KPN

37 maut, 10 masih hilang akibat banjir setakat ini, kata KPN

Sehingga kini 68,341 mangsa banjir direkod di seluruh negara melibatkan 18,080 keluarga.

Menurut Acryl Sani Abdullah Sani, tujuh negeri masih terjejas setakat hari ini dengan Pahang paling teruk terkesan. (Gambar AP)
SHAH ALAM:
Seramai 37 mangsa meninggal dunia akibat bencana banjir setakat pagi ini, kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau turut memaklumkan setakat ini juga 10 lagi mangsa masih hilang serta operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

“Semalam sahaja dalam tempoh 24 jam, lima kematian dan empat masih hilang akibat banjir.

“Sehingga kini 68,341 mangsa banjir direkodkan di seluruh negara melibatkan 18,080 keluarga,” katanya pada sidang media hari ini ketika melaporkan perkembangan semasa banjir.

Katanya, tujuh negeri masih terjejas setakat hari ini dengan Pahang paling teruk terkesan.

“Tujuh negeri terjejas ialah Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Kelantan,” katanya,

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keputusan bedah siasat punca kematian mangsa-mangsa yang ditemukan memandangkan ada di antara mangsa yang ditemukan di tingkat atas rumah, Acryl Sani menjelaskan pihaknya masih belum menerima laporan forensik itu.

Ditanya jumlah anggota polis terlibat menjadi mangsa banjir Acryl Sani berkata, seramai 1081 pegawai terkesan.

Beliau turut memaklumkan seramai 66,015 petugas agensi keselamatan ditugaskan untuk menyelamat dan membantu mangsa banjir.

“Bergitu juga dengan aset ditugas 1,600 bot seluruh negara dikerah untuk tugas menyelamat dan memantau serta menghantar bekalan makanan di kawasan terputus hubungan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, tujuh laporan polis diterima berhubung kejadian pecah masuk premis perniagaan di Selangor.

Beliau menasihat mana-mana pihak yang kehabisan bekalan makanan boleh datang atau memohon bantuan di pusat operasi banjir.

“Bekalan makanan disedia kerajaan mencukupi,”katanya,

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.